Menu

IKLAN

Saya jarang nampak ada orang dalam rumah itu. Cuma setiap malam, saya sering terdengar suara kanak-kanak menangis dari rumah berkenaan. Suara itu akan diam sendiri selepas itu..., itulah di antara pengakuan jiran kepada rumah bernombor 19, rumah pangsa Taman Semarak.

NILAI : Penderitaan Muhammad Firdaus itu ternyata mengejutkan penduduk sekitar rumah pangsa Taman Semarak.

Hasil tinjauan di rumah pangsa itu semalam mendapati, penduduk sekitar serta jiran-jiran tidak mengetahui ada remaja OKU terkurung di sebuah bilik di blok 15, selama ini.

Kawasan perumahan yang rata-rata didiami warga asing itu kelihatan suram, selain berada dalam keadaan tidak terurus.

Sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dalam blok berkenaan, hidung mula terbau sesuatu kurang menyenangkan, dengan hancing serta busuk.

Setibanya di hadapan rumah nombor 19 iaitu tempat Muhammad Firdaus ditemui, bau busuk terus menerpa kuat sebaik saja pintu dikuak.

Tidak cukup dengan itu, kelihatan keadaan rumah berselerak seperti tidak berpenghuni, malah apabila ditanya jiran sebelah, mereka sendiri tidak tahu dan tidak kenal penghuni rumah itu.

Salah seorang jiran yang tinggal depan rumahnya, Farhat, 30, berkata, selama tiga tahun dia tinggal di situ, dia jarang melihat wanita atau ibu kepada Muhammad Firdaus berada di rumah.

Farhat yang berasal dari Bangladesh dan fasih berbahasa Melayu berkata, hanya sebulan sekali saja dia nampak wanita itu datang mengemas rumah dan membuang bungkusan sampah yang banyak.

“Saya jarang nampak ada orang dalam rumah itu. Cuma setiap malam, saya sering terdengar suara kanak-kanak menangis dari rumah berkenaan. Suara itu akan diam sendiri selepas itu.

“Sudah tiga tahun saya tinggal di sini, tetapi tidak pernah kenal dengan penghuni di depan rumah saya ini. Kali terakhir saya nampak dia (ibu Muhammad Firdaus) bulan lalu, ketika itu dia sedang angkat sampah dengan seorang anak lelaki kecil. Lepas itu tidak nampak lagi," katanya.

Bagaimanapun, beberapa wanita tempatan yang ditemui mengakui ibu Muhammad Firdaus itu tinggal bersama kerana pernah ternampak wanita berkenaan di situ.

Dalam pada itu, pengerusi flat berkenaan, Abdul Razak Nasir berkata, ibu kepada Muhammad Firdaus kelihatan keluar rumah awal pagi dan pulang lewat malam, dipercayai bekerja.

“Keluarga remaja OKU ini tidak pernah bergaul atau berbual dengan penduduk di sini. Malah, kami sendiri tidak tahu dia mempunyai anak OKU sehinggalah berita ini tersiar,” katanya.

Ibu mengaku tinggal bersama

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Abdullah Roning berkata, ketika disoal siasat, wanita yang dikenali sebagai Lola itu mengaku masih tinggal bersama Firdaus di rumah berkenaan dan bukan tinggal di tempat lain.

“Hasil percakapan pegawai penyiasat kami dengan wanita berkenaan, mereka masih tinggal serumah, cuma anaknya yang OKU itu diasingkan di sebuah bilik berlainan.

“Semua keterangan daripada wanita berkenaan telah pun direkodkan dan diambil, sebelum tindakan lanjut dilakukan,” katanya, semalam.

Abdullah berkata, polis kini sedang mengesan bapa Muhammad Firdaus bagi melengkapkan kertas siasatan.

Ibu remaja itu direman selama empat hari sehingga esok.

Manakala, Timbalan Pengarah JKM Negeri Sembilan, Mohamad Hapil berkata, pihaknya akan mengesan bapa kepada remaja berkenaan.

“Setakat ini, kita tiada maklumat mengenai ayahnya. Jika gagal dikesan, JKM akan mohon perintah sementara bagi menjaga dan melindunginya buat sementara sebelum proses ke mahkamah,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top