Menu

IKLAN

IPOH: Kenaikan harga tambang teksi, kereta sewa dan bas ekspres yang diumumkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), semalam mengundang reaksi berbeza di kalangan pengguna.

Tinjauan Peraktoday.com.my mendapati, rata-rata pengguna pengangkutan awam di Perak berasa terkejut dengan pengumuman tersebut.
2
Menurut Nadiah Najihah Hishamuddin, kenaikan harga tambang itu sudah pasti akan membebankan kewangannya sebagai seorang pelajar.
“Pelajar seperti saya kerap menggunakan pengangkutan awam dan pastinya apabila tambang dinaikkan, ia akan membebankan kos kehidupan kami,” katanya.
Tambahnya lagi, dengan kenaikan harga minyak dan harga tambang pengangkutan awam, tidak mustahil harga barangan dan perkhidmatan lain akan turut meningkat selepas ini.
Pihak kerajaan katanya, perlu mengutamakan keperluan rakyat daripada meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam.
Sementara itu, menurut Azlin Mohamad, kenaikan harga tambang pengangkutan awam perlu disertai dengan peningkatan mutu dan kualiti perkhidmatan.
“Apabila harga tambang dinaikkan, maka kualiti dan mutu perkhidmatan yang disediakan juga harus ditingkatkan agar setimpal dan berbaloi dengan harga yang dibayar,” katanya.
1Berlainan pula pendapat Raja Ermi Raja Omar, yang menyifatkan kenaikan harga tambang itu tidak akan membebankan pengguna.
“Ia merupakan salah satu langkah untuk meningkatan kecekapan dan mutu perkhidmatan pengangkutan awam,” katanya.
Tambahnya lagi, pengguna akan berasa lebih selesa dengan perkhidmatan yang disediakan selain dapat menjimatkan wang daripada menggunakan kenderaan sendiri.
“Malaysia sedang bergerak ke arah negara maju dan ini adalah salah satu langkah yang diperkenalkan untuk menuju matlamat tersebut,” katanya lagi.
Kenaikan harga tambang yang diumumkan semalam oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak dapat dielakkan berikutan kenaikan kos yang ditanggung pengusaha pengangkutan awam termasuk kos penyelenggaraan.
Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, penyelarasan kadar tambang itu dibuat selepas mengambil kira keperluan pihak pengusaha yang terbeban dengan kenaikan harga barang dan kepentingan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan itu.
Kenaikan kadar tambang baharu ini tidak melibatkan teksi lapangan terbang dan teksi eksekutif dan penetapan kadar baharu itu terpaksa dilakukan selepas kali terakhir semakan kadar tambang teksi dan bas ekspres dibuat pada 2009.
Penyelarasan kadar baharu itu juga katanya, tidak dibuat berikutan penguatkuasaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan berkuat kuasa 1 April sebaliknya mengambil kira kepentingan semua pihak.



- Perak Today -


0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top