IPOH: Rakyat di negeri Perak dinasihatkan agar tidak menjadikan sentimen agama dan perkauman sebagai penghalang terhadap perpaduan di negara ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, beliau tidak akan membenarkan mana-mana pihak mengambil kesempatan untuk memecahkan perpaduan yang terjalin di negeri itu.
“Anggaplah perpaduan ini sebagai satu rahmat untuk kehidupan bermasyarakat di bumi yang bertuah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ucapannya dalam Majlis Rumah Terbuka Vaisakhi 2015 Peringkat Negeri di perkarangan Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.
Beliau berharap agar masyarakat yang berbilang kaum di negeri ini sentiasa menghargai dan saling bertolak ansur antara satu sama lain.
“Hal ini kerana disebabkan sikap toleransi dan saling menghargai antara satu sama lain inilah kita mampu berkumpul di majlis seperti ini,” ujarnya.

Zambry turut berkata, kerajaan negeri bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada semua peringkat masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan bangsa termasuklah kaum Sikh.
Majlis Rumah Terbuka Vaisakhi yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh telah disambut meriah dengan persembahan-persembahan tradisional kaum Sikh dengan kehadiran lebih daripada 3,000 pengunjung.
Dalam majlis berkenaan juga, Zambry turut menyampaikan hadiah wang saguhati kepada anak kaum Sikh yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Beliau juga turut menyampaikan sumbangan kepada 80 anak-anak yang kurang berkemampuan daripada beberapa rumah kebajikan di negeri Perak.
- Perak Today -




0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.