IPOH: Kerajaan Negeri Perak mensasarkan sifar penyalahgunaan dadah pada tahun 2020 apabila pelan tindakan strategi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dilaksanakan bermula pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil Negeri Perak, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata bahawa penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja semakin membimbangkan.
“Indeks tersebut telah dinyatakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir baru-baru ini.
“PEMADAM peringkat daerah dan negeri perlu memainkan peranan dengan lebih serius untuk kita mendekati golongan remaja seperti yang diperkatakan oleh Menteri Besar,” beliau berkata demikian ketika Majlis Santai Petang Meraikan Pemain-Pemain Kejohanan Futsal Piala Penaung PEMADAM Kebangsaan Peringkat Kebangsaan ke-5 2015, di sini, semalam.
Beliau berkata, PEMADAM Negeri Perak telah mengadakan satu pelan strategi yang meliputi enam fokus utama.
“Kita perlu terlibat dan melaksanakan tanggungjawab supaya ia lebih berkesan bukan sahaja untuk mencegah, malah untuk kita merawat mereka yang telahpun terlibat dalam penyalahgunaan dadah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Samsudin turut mengucapkan tahniah kepada pasukan Perak A dari Daerah Batang Padang kerana telah menjuarai Kejohanan Futsal Peringkat Kebangsaan Ke -5, Piala Penaung Persatuan PEMADAM Kebangsaan 2015.
“Pada awalnya, saya berpendapat kita tidak perlu menyertai kejohanan ini kerana kita baru mula untuk memperkasakan pelan tindakan strategi.
“Namun setelah difikirkan, kita mengarahkan kepada PEMADAM setiap daerah di negeri ini untuk buat mesyuarat dan menghantar satu pasukan supaya imej PEMADAM Perak dapat ditonjolkan,”katanya.
Kata beliau lagi, imej PEMADAM Negeri Perak perlu ditonjolkan bukan sahaja dalam aktiviti dan gerakan membasmi dadah, tetapi perlu melibatkan keupayaan dalam sukan.
“Sukan merupakan salah satu cara kita untuk mengurangkan kadar dadah dalam kalangan remaja,” katanya.
Perak telah menghantar dua pasukan lelaki dan satu pasukan wanita untuk kejohanan futsal tersebut.




0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.