BANGI: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak menolak kemungkinan akan membawa RANG undang-undang berhubung jenayah sihir ke peringkat lebih tinggi berikutan kajian penyelidikan perundangan itu sudah lengkap.
Penyelidikan oleh 36 panel dalam pelbagai bidang mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan melalui kerjasama antara JAKIM dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustapha berkata, kajian undang-undang sihir sudah dibentangkan kepada panel Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil JAKIM yang dipengerusikan oleh Tan Sri Sheikh Ghazali pada 14 November lalu.
Harian Metro dalam laporan bersiri yang disiarkan bermula 13 Mac tahun lalu memaparkan fenomena sihir seperti tiada kesudahan membabitkan pelbagai lapisan masyarakat mengundang cadangan Jawatankuasa Bersama Bengkel Akta Jenayah Sihir diketuai Dr Mahyuddin Ismail meminta supaya undang-undang jenayah sihir diperkenalkan dalam waktu terdekat.
Othman berkata, selain itu, pihaknya akan meneliti buku penyelidikan setebal 120 muka surat sebelum membawanya ke peringkat lebih tinggi dan Peguam Negara.
“Jika panel jawatankuasa ini dapat memberikan mekanisma pembuktian sihir di mahkamah, JAKIM tiada masalah untuk membawa perkara ini ke peringkat tertinggi,” katanya.
- Harian Metro -

0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.