Menu

IKLAN


KUALA LUMPUR -‎ Kementerian Dalam Negeri menegaskan kerajaan tidak zalim seperti yang didakwa untuk menahan pelajar-pelajar yang pulang dari Syria untuk suatu tempoh yang panjang.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penahanan sementara itu penting supaya soal siasat boleh dijalankan bagi memastikan pelajar-pelajar yang pulang itu 'bersih' sebelum dibebaskan.

"Datuk Yang Dipertua, kerajaan, KDN khususnya, polis khasnya tidak sekejam atau sezalim itu jika ada di kalangan pelajar-pelajar Malaysia (yang pulang) sama ada ianya dibiayai oleh keluarga atau sumber-sumber yang lain untuk ditahan dalam jangka (masa) yang panjang sebagaimana yang disebut Yang Berhormat (Datuk Johari Abdul)," katanya pada sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Sebelum itu, Johari (Sungai Petani-PKR)‎ mendakwa ramai pelajar Malaysia yang sudah tamat pengajian takut untuk pulang gara-gara mendapat maklumat akan ditahan dan mungkin disoal siasat untuk satu tempoh yang panjang.

‎Ahmad Zahid menekankan bahawa kerajaan tidak segera menghukum sebaliknya menjalankan soal siasat terlebih dahulu.

"Jadi, maklumat yang kita perolehi sekarang ini, terdapat 63 rakyat Malaysia yang masih berada di Syria. Kanak-kanak yang berumur antara 1 hingga 10 tahun seramai empat orang iaitu dua lelaki, dua perempuan. Wanita yang berumur 11 hingga 30 tahun seramai lapan orang. Lelaki dewasa‎ seramai 51 orang.

"Apa yang kita lakukan daripada mereka yang kembali ke Malaysia... terdapat tujuh orang di mana ianya termasuk seorang bekas tahanan ISA.

Enam sudah ditangkap dan seorang masih bebas. Ertinya, apa yang kami lakukan bukan untuk terus menghukum tetapi melakukan soal siasat. Kalau mereka tidak terlibat, maka kerajaan terutamanya polis tidaklah sezalim yang disangkakan untuk menahan mereka untuk jangka masa panjang," katanya.

Jelasnya, kerajaan khuatir bekas-bekas tahanan‎ Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang berhijrah ke Syria menuntut ilmu peperangan.

"Yang dikhuatiri ialah apabila tahanan-tahanan ISA yang berhijrah ke sana untuk memperoleh ilmu bukan ilmu dari institusi pengajian tinggi tapi ilmu peperangan... dan pulang bukan setakat untuk merekrut tapi yang disebutkan oleh Kampar tadi... 17 orang daripada mereka berhasrat untuk melakukan aktiviti rompakan dengan penyediaan bahan-bahan letupan. Ini kita khuatiri.

"Oleh sebab itu, kita kerjasama dengan semua pihak di peringkat antarabangsa supaya mereka yang statusnya sebagai pelajar dapat pulang dan saya yakin dengan apa yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan ialah dengan memberikan tempat untuk mereka menyambung baki sesi pengajian mereka hingga tamat dengan syarat subjek yang dipelajari itu mempunyai nilai kredit supaya dilakukan 'credit transfer' bagi mereka tamatkan pengajian mereka di Malaysia," katanya.

-Sinar Harian

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top