Menu

IKLAN


Bukan mengikut ‘trend’ ramai artis berhijrah sebaliknya pelakon Faezah Elai memilih untuk bertudung atas kerelaannya sendiri.

Malah pelakon filem Tanda Putera ini mengakui suaminya iaitu pengarah drama, Heykal Hanifah sendiri tidak tahu hasratnya untuk bertudung sejak Februari lalu.

“Saya tidak mendapat sebarang mimpi yang bukan-bukan atau petanda buruk yang membuatkan saya tampil untuk bertudung.

“Ia adalah ketentuan Allah SWT. Ia bermula ketika saya dan suami ingin keluar makan malam bersama di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur.

“Secara tiba-tiba, hati saya terus terbuka untuk bertudung pada malam itu dan terus tetapkan hati untuk mengekallkan imej bertudung ini sampailah sekarang.

“Ternyata, suamilah yang paling gembira melihat perubahan imej baru saya ini.

“Ahli keluarga atau mereka yang rapat dengan saya tidak terkejut dengan penampilan ini kerana mereka memang sudah tahu saya akan bertudung bila sampai masanya,” katanya.

Pada masa sama, kata Faezah, 33, dia juga berusaha menjaga penampilan dan maruahnya sebagai wanita bertudung supaya ia memenuhi tuntutan agama.

“Selain membuang semua gambar tidak bertudung di laman sosial, saya juga memberikan semua baju lama yang tidak sesuai untuk dipakai lagi kepada pembantu rumah warga Filipina yang bukan beragama Islam. Itu lebih baik daripada dibuang begitu saja kerana ada baju yang masih baru dan belum dipakai pun,” katanya.

Tolak babak bersentuhan lelaki
Walaupun sudah bertudung, Faezah tetap meneruskan kariernya dalam bidang lakonan.
Apa yang penting, watak yang ditawarkan padanya tidak melanggar batas serta sesuai dengan penampilan barunya itu.

“Saya tidak bimbang tawaran berlakon semakin berkurangan bila sudah bertudung kerana yakin rezeki dalam bidang seni tetap ada,” katanya.

Jika diikutkan, Faezah juga tidak asing dengan watak wanita bertudung dalam beberapa drama sebelum ini.

Antaranya ialah drama Memberku Hawa, Asmara dan Cinta Sempurna serta Akhirnya Kau Mengerti untuk stesen TV Alhijrah.

“Sebenarnya, sebaik saja berumahtangga, suami sudah tidak membenarkan saya berlakon babak bersentuhan dengan pelakon lelaki dalam drama atau filem.

“Bila sudah bertudung, pastilah saya lebih menjaga batas serta aurat dengan pelakon lelaki dalam drama atau filem selepas ini,” katanya.

Justeru, kata Faezah yang turut memiliki tiga anak tiri, dia lebih selesa berlakon dalam drama terbitan produksi suaminya sendiri.

“Sebagai pelakon berstatus isteri dan ibu, memang lebih mudah untuk saya berlakon dalam produksi sendiri kerana suami lebih tahu watak yang sesuai untuk saya.

“Pada masa sama, saya juga dapat pulang ke rumah lebih awal untuk bersama anak kami, Dealova Heyrinna, 2, yang masih kecil.

“Terbaru, saya baru selesai berlakon drama Wadi arahan suami dan terbitan produksi kami untuk stesen TV3,” katanya.

Bagaimanapun, kata Faezah, dia juga tidak ada masalah untuk berlakon dengan produksi lain.

“Apa yang penting, pihak produksi iaitu penerbit dan pengarah memenuhi syarat yang saya tetapkan sebelum berlakon dalam drama mereka.

“Sebagai pelakon, saya juga ingin watak berbeza dan lebih mencabar lakonan,” katanya.

Selain Tanda Putera, dia turut berlakon dalam dua filem iaitu KL Zombie dan Jidin Sengal.

-Harian Metro

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top