Menu

IKLAN


KAMPUNG GAJAH – Warden asrama yang didakwa merotan pelajar tingkatan satu sehingga menyebabkan kecederaan di sebuah sekolah berasrama di sini, kini dipindahkan untuk bertugas di pejabat sebuah agensi kerajaan di Ipoh sehingga siasatan berhubung kejadian itu selesai.

Exco Kerajaan Negeri Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, kerajaan negeri sentiasa berhubung dengan pihak sekolah bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai perkara tersebut dari semasa ke semasa.

Menurutnya, siasatan ke atas warden asrama terbabit yang juga guru fizik di sekolah berkenaan masih diteruskan.

“Kerajaan negeri amat berdukacita dengan kejadian itu dan berharap perkara yang sama tidak akan berulang pada masa hadapan,” katanya ketika melawat Danish Aiman Ahmad Rizal, 13, di rumahnya di sini, semalam.

Dalam kejadian Selasa lalu, Danish Aiman terpaksa menjalani pembedahan di mata kirinya selepas cermin mata yang dipakainya pecah selepas dipercayai dirotan warden asrama terbabit ketika melakukan pemeriksaan mengejut di asrama pelajar berkenaan.

“Sehubungan itu, saya berharap supaya tindakan adil diambil supaya semua pihak berpuas hati dengan keputusan yang akan dikeluarkan nanti,” katanya.

Sementara itu, bapa pelajar terbabit, Ahmad Rizal Ahmad Samaludin, 38, memberitahu, setakat ini pihak sekolah banyak membantu terutamanya dalam perbelanjaan kos rawatan anak sulungnya.

Katanya, Pengetua dan beberapa wakil dari sekolah tersebut beberapa kali datang melawat di rumah untuk bertanya khabar serta mengambil berat akan kebajikan anaknya itu.

“Mereka ada yang datang dari Ipoh dan Kuala Lumpur untuk melihat keadaan kesihatan anak saya. Malah, mereka turut menawarkan khidmat kaunseling untuk membantu anak saya yang kini trauma akibat kejadian tersebut,” jelasnya.

Dia berkata, anaknya kini sedang menjalani rawatan susulan dan mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan untuk pulih sebelum kanta baharu dimasukkan ke dalam mata kiri anaknya yang cedera.

“Anak saya kini menjalankan rawatan di Hospital Teluk Intan dan mengambil cuti sakit sehingga rawatannya selesai,” katanya.

Danish Aiman ketika ditemui pula berkata, dia mahu kembali ke sekolah untuk bertemu dengan rakan-rakan belajar seperti sebelum ini.

“Saya masih mahu bersekolah di tempat yang sama kerana rakan-rakan saya ramai di sana,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi arkitek pada masa depan.

-Sinar Harian

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top