Menu

IKLAN



PERTEMUAN bersama jejaka tinggi lampai ini berjalan dengan lancar sekali. Sehari sebelum sesi fotografi bermula, baru Sensasi Bintang dapat memberi kata putus mengenai busana yang bakal digayakannya dan lokasi pertemuan.
Tanpa banyak soal, pemilik nama Qi Razali atau nama penuhnya Qushairi Mohammed Razali terus bersetuju. Sikapnya yang tidak cerewet dan mudah mesra itu membuatkan sesi fotografi yang berlangsung di Studio Utusan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini tidak mengambil masa lama.
Memulakan bicara tentang perkembangan terbaharunya, jejaka kelahiran Pulau Pinang itu begitu teruja memberitahu, dia bakal mengeluarkan single pertamanya berjudul About A Boy. Lagu yang dinyanyikan dalam bahasa Inggeris itu dihasilkan oleh Qi sendiri dan bakal dipasarkan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
Nampaknya, selepas menjadi pengacara dan pelakon, kini dia melangkah setapak lagi dalam industri seni untuk bergelar penyanyi. Lebih mengagumkan apabila lagu-lagu yang dihasilkan Qi Razali lahir daripada idea dan ilhamnya sendiri.
Menurut Qi, muzik adalah cara untuk dia mengekspresi diri. Darah muzik yang ada pada dirinya sudah lama wujud dan ternyata, walaupun sibuk dengan kerjaya pengacaraan, minatnya dalam muzik tidak pernah padam.
“Muzik adalah cara untuk saya ekspresikan emosi. Macam itu juga kalau ada sesetengah orang yang pergi gimnasium, dia suka tumbuk beg pasir untuk lepaskan geram atau ada yang suka menembak, memanah dan menjerit. Macam saya lebih suka bermain muzik, pegang gitar dan cipta lagu.
“Setiap kali mempunyai masa terluang, gitar merupakan teman di sisi untuk menghasilkan pelbagai karya lagu dan tidak lama lagi, saya bakal muncul dengan single pertama. Saya hanya menunggu masa yang sesuai untuk merekodkan lagu tersebut di studio.
“Abang saya, Sha’arin banyak memberi dorongan. Dia kata dah boleh dah jika Qi nak buat single, sebelum terlewat baik buat. Lagipun, lagu memang dah ada, cuma kebanyakannya dalam bahasa Inggeris. Mungkin sebab dah terbiasa dengar lagu Inggeris,” katanya yang merupakan bekas pemain dram kumpulan OAG.
Ungkapnya lagi, dia menjadikan Damien Rice, Coldplay dan terbaharu Ed Sheeran sebagai mentor dalam menghasilkan muzik. Kebanyakan lagu yang ditulisnya adalah berdasarkan perasaan serta pengalaman hidup dan lazimnya berirama pop.
PENGACARA rancangan pengembaraan itu kini sibuk menjalani penggambaran The Streets.


Tambahnya, pada usia 37 tahun, Qi merasakan dia sudah cukup matang untuk berkongsi pengalaman hidup bersama pendengar di luar.
Dalam pada itu, dia kini sedang sibuk melakukan rakaman bagi rancangan pengembaraan berjudul The Streets untuk slot Raudah di TV9.
“Berbeza dengan rancangan pengembaraan sebelum ini, The Streets memaparkan kawasan-kawasan bandar yang mempunyai komuniti masyarakat Islam. Misalnya, semasa di Auckland, New Zealand kami bersembahyang di masjid pertama yang dibina di bandar tersebut.
“Selain itu, rancangan berkenaan juga memaparkan lorong-lorong yang mempunyai identiti. Contohnya, jika di Malaysia kita ada Petaling Street, begitu juga di bandar-bandar lain di dunia.
“Kini, kami sudah selesai merakamkan enam episod dan pada minggu hadapan, Insya-Allah kami akan ke Turki, Sri Lanka, Indonesia dan Thailand bagi merakam baki enam episod lagi,” jelasnya sambil memberitahu, rancangan pengembaraan itu adalah program kembara keenam baginya.
Sebelum ini, Qi pernah muncul dalam pelbagai program lain seperti Destinasi Bajet, Jalan Jalan Cari Makan, Field Trip USA, Art Attack dan Kembara Qi.
Farid vs Faridah
Dalam perkembangan lain, Qi baru sahaja tamat penggambaran filem Anak Mami Nasi Kandaq arahan Prof. Madya Razak Mohaideen bersama pelakon Fasha Sandha. Dalam filem berkenaan, Qi membawakan dua watak iaitu seorang lelaki bernama Farid dan wanita bernama Faridah.
“Filem ini memberi pengalaman baharu buat saya, tidak pernah saya membawakan watak wanita sebelum ini, malah menggunakan dialek Utara juga merupakan pengalaman pertama.
“Menariknya, saya perlu melakonkan watak wanita dengan cara sebenar dan tidak boleh nampak janggal. Susah juga tetapi saya banyak mendapat bantuan daripada pelakon lain dan jurusolek. Mereka sangat membantu.
“Filem ini merupakan filem keempat saya selepas Suamiku Jatuh Dari Langit, lakonan bersama Nora Danish. Dalam filem tersebut, buat pertama kalinya saya memegang watak utama. Filem itu bakal menemui penonton pada 18 Julai depan,” jelasnya yang memasang impian untuk berlakon di bawah arahan Kabir Bhatia dan Osman Ali.
LELAKI berusia 37 tahun ini sudah bersedia untuk menamatkan zaman bujang dan membina keluarga bahagia.


Cahaya mata
Mencungkil mengenai isi hati lelaki ini, Qi sebenarnya sedang merancang untuk menamatkan zaman bujang bersama kekasih hatinya iaitu pelakon berbakat besar, Nelydia Senrose.
Menurut anak bongsu daripada empat adik-beradik itu, dia teringin menimang cahaya mata lebih-lebih lagi apabila melihat kesemua adik-beradiknya sudah berkahwin dan mempunyai anak.
“Apa yang boleh anda bayangkan jika saya kata pada lima tahun akan datang saya sudah menjadi bapa kepada dua cahaya mata. Cuba kira sendiri,” jelas Qi sambil disusuli gelak tawa.
Ungkapan itu jelas menunjukkan Qi sudah dapat membayangkan kehidupannya bersama Nelydia.
Tambahnya, pada usia 37 tahun, tiada apa yang diimpikan selain menamatkan zaman bujang dan memiliki sebuah keluarga bahagia.
“Saya sudah bersedia. Jika diizinkan Tuhan, selewat-lewatnya pada tahun depan saya mahu berkahwin. Saya hanya merancang tetapi semuanya terpulang kepada-Nya. Saya dan Nelydia serius dalam perhubungan ini, kami tidak mahu berkahwin kerana desakan mana-mana pihak.
“Biarlah ia atas persetujuan kedua-dua belah keluarga. Doakan sahaja. Saya pun cemburu melihat adik-beradik lain sudah ada anak. Macam Sha’arin, saya tengok seronok betul dia dengan anak kecilnya Noah,” ujarnya yang sudah hampir tiga tahun menyulam kasih bersama Nelydia.
Sementara itu, Sensasi Bintang sempat bertanyakan pendapat Qi mengenai jarak umur mereka yang mempunyai beza 16 tahun. Sambil tersenyum, Qi memberitahu, umur hanyalah angka baginya.
“Walaupun Nelydia baharu berusia 21 tetapi sikap matangnya membuatkan saya selesa bersama. Tidak dapat dinafikan, memang ada perangai 21 tahunnya itu tetapi apalah sangat jika saya tidak boleh bertolak ansur. Sedangkan dia sudi terima saya,” ujar Qi mengakhiri perbualan.

-Kosmo!


0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top