KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Kerajaan Malaysia memutuskan untuk
menghantar balik seorang bekas kakitangan Pejabat Suruhanjaya Tinggi
Malaysia di Wellington, ke New Zealand untuk membantu penyiasatan
terhadap tuduhan pecah rumah dan serangan dengan niat untuk merogol.
Wisma Putra dalam kenyataan pada Rabu berkata Menteri Luar Datuk Seri
Anifah Aman telah menyampaikan keputusan itu kepada rakan sejawatnya,
Murray McCully, petang ini.
Menurut kenyataan itu, Pegawai Waran II, Muhammad Rizalman Ismail, bekas
pembantu staf pertahanan di kedutaan tersebut, akan diiringi seorang
pegawai kanan tentera daripada Kementerian Pertahanan.
"Malaysia mempunyai keyakinan penuh terhadap sistem undang-undang New
Zealand dan yakin bahawa Muhammad Rizalman akan diberi layanan yang adil
dan secara bermaruah sebagaimana diperuntukkan di bawah undang-undang,"
tambahnya.
"Keputusan kerajaan Malaysia adalah bukti jelas mengenai hubungan dua
hala yang cemerlang antara Malaysia dan New Zealand," menurut kenyataan
itu.
Menurut Wisma Putra, kerajaan Malaysia berpendapat bahawa keputusan itu
akan memberi peluang kepada Muhammad Rizalman untuk bekerjasama
sepenuhnya dan membantu pihak berkuasa New Zealand dalam siasatan yang
dijalankan atas dakwaan terhadapnya.
"Dalam hal ini, prinsip undang-undang bahawa seseorang itu dianggap
tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah perlu diguna pakai kepada
Muhammad Rizalman.
"Kerajaan Malaysia akan menyediakan bantuan guaman kepadanya jika perlu," katanya.
Muhammad Rizalman, 38, ditahan di New Zealand pada 9 Mei lepas dan
dihadapkan di mahkamah pada hari berikutnya bagi menghadapi tuduhan
melakukan pecah rumah dan serangan seksual terhadap seorang wanita muda
dengan niat untuk merogol.
Semalam, Anifah dalam sidang media berkata Muhammad Rizalman dan
keluarganya telah dibawa pulang ke Malaysia pada 22 Mei lepas dengan
persetujuan pihak New Zealand.
Beliau berkata semasa perbincangan antara pegawai-pegawai Malaysia dan
New Zealand mengenai perkara itu pada 12 Mei lepas, pihak New Zealand
telah menawarkan alternatif untuk Muhammad Rizalman di bawa balik ke
Malaysia.
McCully dilaporkan berkata bahawa kemungkinan terdapat kekaburan dalam
komunikasi antara kedua-dua negara itu dalam menangani kes tersebut.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.