Menu

IKLAN


SEREMBAN –  GiatMara merancang mahu memperluaskan kemahiran urutan tradisional berikutan mendapat permintaan tinggi kini.

Pengerusi GiatMara Malaysia, Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata, kursus itu akan dilaksanakan di beberapa GiatMara terpilih sejajar dengan permintaan pasaran kini.

“Kita lihat permintaan pasaran terhadap urutan tradisional badan, kecantikan dan kesihatan ini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

“Jadi, kita bercadang mahu memperluaskan kursus kemahiran ini di GiatMara memandangkan bidang ini banyak dipelopori bangsa lain,” katanya dalam sidang media pada Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Program Peringatan Pendapatan (PPP), Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya dan Program MobilePreneur GiatMara Negeri Sembilan di GiatMara Seremban, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Norhayati Omar dan Pengarah GiatMara negeri, Amran Awang.

Menurutnya, urutan tradisional MobilePreneur itu nanti akan menyediakan perkhidmatan bergerak dari rumah ke rumah.

“Kita lihat bidang kursus ini berpotensi luas untuk dilaksanakan secara bergerak kerana orang lebih suka mendapatkan khidmat urutan ini di rumah.

“Kita yakin apabila kursus urutan ini diperluaskan ia akan meningkatkan produktiviti dan melahirkan usahawan yang berdaya saing,” katanya.

Pada majlis itu, Jaujan menyampaikan peruntukan berbentuk peralatan bernilai RM600,000 kepada 90 peserta melalui Program Peningkatan Pendapatan (PPP) 2015.

Katanya, PPP merupakan program di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat yang telah dipertanggungjawabkan kepada GiatMara sebagai agensi pelaksana projek ekonomi Rancangan Malaysia Ke-10.

“Bantuan peralatan seperti mesin jahit, alat solek dan lain-lain dibawa pulang peserta dan selebihnya akan dihantar pembekal terus ke rumah peserta selepas menghadiri kursus selama tiga hari di Port Dickson, minggu depan.

“Bagi bantuan MobilePrenuer pula, sebanyak sembilan kereta dan dua motosikal diberikan kepada lepasan pelatih GiatMara terpilih sebagai usahawan bergerak,” katanya.

-Sinar Harian


0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top