Menu

IKLAN


KUALA KRAI - Pembinaan 80 sekolah baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) mampu meningkatkan lagi prestasi pendidikan negara ke tahap baharu.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, kerajaan dilihat serius dalam membangunkan pendidikan negara selaras dengan hasrat mencapai taraf negara maju menjelang 2020.

"Walaupun kita ada sukatan pelajaran yang hebat, namun ia perlu didahului dengan kemudahan dan prasarana mencukupi agar pelajar dapat belajar dalam keadaan yang lebih selesa," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian  Bantuan Banjir NUTP Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yahya Petra II di sini, hari ini.

Dalam majlis yang turut dihadiri Setiausaha NUTP Lok Yim Pheng itu, sebanyak 500 warga pendidik di kawasan itu menerima sumbangan RM100 seorang bagi meringankan beban selepas terlibat dalam bencana banjir besar yang melanda Kelantan Disember tahun lepas.

Najib, ketika membentangkan RMK11 di Dewan Rakyat semalam berkata di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, sebanyak 80 sekolah baharu akan dibina di seluruh negara dalam tempoh dua tahun pertama, tidak termasuk dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Sik, Kedah dan Tanah Merah, Kelantan.

Hashim berkata, selain itu pembinaan sekolah yang mengajar subjek teknikal dan vokasional juga akan melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi di dalam usaha memacu pertumbuhan negara berasaskan industri.

"Sekiranya kita tidak bersedia dengan kelengkapan (sekolah teknik dan vokasional) tersebut, pekerja kita tidak mahir dalam industri, maka kita akan ketinggalan daripada negara-negara lain yang akan mengambil peluang ini untuk melatih rakyat.

"Negara lain juga akan mengambil peluang untuk melabur dengan membina kilang-kilang di Malaysia dan ia satu kerugian jika perkara ini berterusan," katanya. - Bernama

-Sinar Harian

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top