Menu

IKLAN



JOHOR BAHRU – Lebih 200 peserta sudah mengesahkan penyertaan dalam acara kayuhan amal anjuran Kelab Komuniti Sukan dan Rekreasi (SRCC) Parlimen Tebrau dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) zon Tanjung Puteri, hari ini.

Program julung kali diadakan itu turut mendapat kerjasama daripada pihak Jabatan Pelancongan Negeri Johor, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Johor, pasaraya Econsave, AB-Inn Hotel (AB Inn) dan Motobina Sdn Bhd.

Sesi flag-off PG Tourism & Charity Ride 2015 itu bakal disempurnakan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad sekitar 8 pagi di Menara Aqabah MPPG.

Pengerusi SRCC Parlimen Tebrau, Syahrin Md Jamaludin berkata, pihak penganjuran menyasarkan kira-kira 300 peserta untuk turut sama memeriahkan acara sambil melakukan amal membantu golongan memerlukan.

Menurutnya, acara berkenaan diadakan untuk mengajak peserta mengamalkan gaya hidup sihat, di samping menerapkan elemen pelancongan dengan mempromosikan produk pelancongan menarik di kawasan Pasir Gudang.

“Menariknya acara ini, peserta khususnya mereka dari luar kawasan Pasir Gudang dapat merasai dan melihat sendiri keindahan panorama kawasan sekitar di mana kayuhan melibatkan beberapa lokasi tarikan pelancongan seperti Bukit Layang-Layang, Kampung Pasir Putih dan Kampung Perigi Acheh.

"Kita juga akan menyampaikan sumbangan kepada 30 individu terdiri daripada golongan memerlukan," katanya.

Selain itu, katanya, acara itu diharapkan dapat menjadi ‘signal’ kepada pihak MPPG bahawa sukan berbasikal tidak kira ‘on-road’ mahupun ‘off-road’ mempunyai peminatnya sendiri di kawasan Pasir Gudang.

“Oleh itu kita mahu pihak MPPG menjadikan aktiviti berbasikal sebagai cabang riadah untuk masyarakat khususnya orang muda sekali gus menyediakan laluan khas di kawasan Pasir Gudang untuk mereka.

“Selepas adanya laluan basikal yang sudah dikenal pasti, pihak MPPG mungkin boleh mewujudkan satu hari yang membolehkan masyarakat Pasir Gudang berbasikal,” katanya.

Aktiviti berbasikal membabitkan jarak kayuhan sejauh 20 kilometer yang diketuai oleh Yang Dipertua MPPG, Md Za’nal Misran itu membabitkan laluan di sekitar zon Tanjung Puteri MPPG seperti Kampung Perigi Acheh yang terkenal dengan produk inap desa dan kampung tradisi di Kampung Pasir Puteh, Pasir Gudang.

-Sinar Harian

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top