Menu

IKLAN


BERKECIMPUNG dalam dunia kecantikan sebagai konsultan sejak 2003 lagi, membuatkan Norharliyana Ahmad, 33, tekad membuka perniagaannya sendiri.

Berbekalkan modal  RM15,000 yang diberi arwah bapa mertua, Moheyer Mat Som, dia memulakan salon kecantikan secara kecil-kecilan di rumahnya Bandar Baru Klang, Selangor.
 
Norharliyana berkata, pelanggan semakin hari semakin ramai menyebabkan dia mengambil keputusan menyewa lot kedai di Bukit Raja, Klang.

“Saya tidak menyangka, perniagaan yang dibina kerana minat terhadap dunia kecantikan ini berkembang dengan pantas sekali.

“Dalam tempoh sebulan, lebih 100 pelanggan menerima rawatan dari rumah tanpa mengira kaum dan bangsa,” katanya.

Dia berkata, promosi yang dilakukan hanyalah mengedar risalah di sekitar kediamannya, namun permintaan semakin lama semakin meningkat kerana pelanggan cukup berpuas hati dengan perkhidmatan salon itu.

Bersesuaian dengan nama Ratu Spa Studio, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada kaum hawa yang begitu sinonim dengan kecantikan.

Namun begitu, Norharliyana berkata salon tersebut turut menawarkan perkhidmatan kepada kaum adam yang ingin memanjakan diri mereka selepas penat bekerja.

Katanya, salon itu menawarkan pakej penjagaan kecantikan dari rambut hingga ke hujung kaki dengan harga yang berpatutan.

Terima pelancong asing

Spa kecantikan yang ditubuhkan sejak Mac 2009 itu, menekan konsep 1Malaysia yang mana pelanggannya tidak kira latar belakang, kaum ataupun bangsa.

Bahkan Norharliyana turut menerima pelanggan daripada luar negara seperti India, Mesir dan Taiwan menggunakan pakej 'Unlimited' atau tanpa had yang ditawarkan spa tersebut.

“Walaupun harganya agak mahal, namun perkhidmatan yang ditawarkan adalah setimpal dengan nilai pelanggan keluarkan.

“Lagipun mereka menerima rawatan yang disediakan di sini tanpa had sehingga pelanggan berpuas hati dengan bentuk badan mereka idamkan,” katanya.

Norharliyana berkata, pelanggannya itu akan melancong ke Malaysia dan melakukan rawatan di spanya dua kali setahun iaitu dalam bulan Jun dan Disember.

Menurutnya, harga yang ditawarkan di spa tersebut serendah RM88 hingga RM9,888 mengikut kemampuan pelanggan.

Dia juga menyediakan pakej untuk pengantin baharu dengan harga istimewa.

Begitu juga dengan hari keraian, pelanggannya dapat menikmati harga lebih murah dan berpatutan.

“Rawatan yang disediakan di sini seperti urutan, sauna, mandi bunga dan banyak lagi. Segalanya lengkap untuk mereka yang mahu rawatan muka, badan serta menguruskan badan menggunakan produk-produk dari Switzerland,” katanya.

Menerapkan unsur Melayu dan moden, Norharliyana berkata kaum Cina paling menggemari perkhidmatan yang ditawarkan di spa itu kerana menepati cita rasa mereka.

Majoriti daripada kaum Cina yang sangat menyukai perkhidmatan di spa tersebut.
 
Harga perkhidmatan dikekalkan

Walaupun terpaksa menghadapi kenaikan kos barangan selepas GST dikenakan, namun Norharliyana tetap dengan pendiriannya untuk mengekalkan harga di spanya itu.

“Ia menjadi satu cabaran buat saya kerana semua produk yang digunakan di import dari luar negara.

“Walaupun harga produk meningkat sebanyak lima peratus dari RM588 kepada RM610, saya tidak akan mengenakan cas tambahan kepada pelanggan,” katanya.

Satu lagi cabaran besar buat pengurus spa itu, persaingan yang hebat di kawasan tersebut kerana terdapat 40 lebih pesaing salun kecantikan.

Mengakui agak sukar dengan kehadiran banyak spa sepertinya, Norharliyana berusaha dengan lebih giat untuk menaik taraf perkhidmatan dan teknik sedia ada. Yakin dengan rezeki yang diberikan Ilahi, dia kini dalam proses untuk membuka cawangan baharu di Kuala Lumpur, memandangkan ramai pelanggannya datang dari pusat bandar dan Seremban.

“Rata-rata pelanggan mengadu lokasi agak jauh dari bandar, saya merancang untuk membukasatu lagi Ratu Spa Studio. Buat masa ini, saya masih lagi merancang dan mencari lokasi yang sesuai, untuk memudahkan pelanggan,” katanya.
 
-Sinar Harian


0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top