Menu

IKLAN


KANGAR - Sepasang suami isteri memerlukan kira-kira RM60,000 lagi bagi menampung kos pembedahan anak mereka yang disahkan menghidap penyakit jantung berlubang.

Sharifah Faten Izzaty Syed Hasyim, 22, berkata, anaknya, Putri Zahra Irina Kamarul Alif yang kini berusia tiga bulan sebulan dimasukkan ke wad Hospital Tuanku Fauziah (HTF) setelah disahkan menghidap penyakit tersebut.

Menurutnya, anaknya disyaki menghidap penyakit itu selepas dia membawanya berjumpa doktor bagi mendapatkan suntikan vaksin semasa usianya lebih sebulan.

"Ketika diperiksa, doktor mengesan denyutan jantungnya tidak normal sebelum dirujuk ke HTF.

“Kemudian anak saya dirujuk pula kepada pakar di Hospital Pulau Pinang dan dia disahkan menghidap penyakit jantung berlubang. Sejak itu Putri Zahra jarang berada di rumah dan kerap dimasukkan ke wad sehinggalah sekarang,” katanya yang tinggal di Kampung Kurong Tengar, Kuala Perlis di sini.

Sharifah Faten berkata, dia kini memerlukan kira-kira RM65,000 untuk menjalani pembedahan anaknya yang dijangka akan dilakukan pada bulan depan.

Katanya, dengan pendapatan suaminya, Kamarul Alif, 25, yang bekerja sebagai pembantu di kedai makan, mereka tidak untuk mengumpul wang sebanyak itu.

“Saya tidak bekerja manakala gaji suami hanya kira-kira RM800 sebulan, dalam tempoh yang singkat ini tak mungkin kami mampu cari duit banyak itu.

“Setakat ini memang ada individu yang memberi sumbangan tapi jumlah itu kecil dan masih perlu mencari kira-kira RM60,000 lagi,"  katanya.

Tambahnya, anaknya itu amat memerlukan pembedahan segera untuk membolehkan dia kembali aktif dan membesar seperti kanak-kanak lain.

“Saya sangat berharap ada pihak yang dapat membantu meringankan beban membiayai kos perubatan Putri Zahra tidak lama lagi,” katanya.

Mereka yang ingin membantu bolehlah menyalurkan sumbangan kepada Kamarul Alif Jamil melalui akaun Maybank 159021071086 atau menghubunginya di nombor 013-4877674.

-Sinar Harian


0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top