KEMAMAN – Seramai 10 lelaki yang sedang 'lalok' dalam kawasan paya bakau berdekatan jeti nelayan Kampung Pengkalan Cicar dicekup Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam serbuan yang dilakukan sekitar jam 5 pagi.
Semua penagih dadah yang ditangkap dalam serbuan Khamis lalu itu berusia lingkungan 21 hingga 55 tahun dan kebanyakannya bekerja sebagai buruh.
Kawasan paya bakau itu merupakan sarang aktif buat penagih dadah untuk melampiaskan gian.
Kawasan paya bakau itu merupakan sarang aktif buat penagih dadah untuk melampiaskan gian.
Oleh itu, bagi mengelakkan lokasi itu terus menjadi sarang penagihan, keesokannya selepas serbuan, gotong-royong membersihkan kawasan itu dilakukan AADK Kemaman dengan kerjasama JKKK Bukit Kuang, JKKK Pengkalan Cicar, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Bukit Kuang dan penduduk setempat.
Ketika kerja pembersihan dilakukan, peralatan untuk penagihan dadah turut dijumpai termasuk jarum suntikan yang berselerakan.
Ketua Pegawai AADK Kemaman, Lokman Hakim Othman berkata, operasi dan gotong-royong itu dilakukan susulan aduan penduduk kerana banyak berlaku kes jenayah di kawasan itu, terutama melibatkan kes pecah rumah dan kecurian.
“Kawasan ini kita kenal pasti menjadi sarang aktif untuk aktiviti penagihan dadah, jadi kita ambil tindakan bagi memastikan kes penagihan dadah di kawasan ini dapat dibendung dengan terhapusnya lokasi penagihan mereka.
“Acara gotong-royong ini juga dilakukan di bawah PROGRAM ‘My Beautiful Malaysia’ untuk mewujudkan persekitaran yang bersih dan selamat,” katanya kepada Sinar Harian ketika berlangsungnya gotong-royong itu.
Selain di kawasan paya bakau, sebuah lagi sarang penagihan dadah yang terletak di dalam semak di kampung itu, turut dibersihkan dengan menggunakan jentolak.
Mengulas lanjut mengenai 10 suspek yang ditahan, kata Lokman Hakim, mereka ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan 1983.
“Dengan pembersihan ini, kita harap kawasan Kampung Pengkalan Cicar ini boleh isytiharkan sebagai bersih daripada sarang dadah,” katanya.
Menurut Lokman Hakim lagi, selain di Kampung Pengkalan Cicar, AADK Kemaman juga akan membersihkan tujuh kawasan lain di daerah ini yang menjadi sarang penagih dadah membabitkan dua lokasi di Felda Neram dan masing-masing satu di Paya Berenjut, Kampung Baru Kerteh, Kampung Telaga Papan, Cheneh serta SERI Bandi.
- Sinar Harian -

0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.