Menu

IKLAN


IPOH: Kinta RiverFront, antara tempat yang menjadi tumpuan wargakota bersantai di waktu malam kerana tarikan lampu hiasan berwarna-warni persis seperti I-City di Shah Alam.

Kinta RiverFront merupakan salah satu kawasan tarikan pelancongan yang terletak di antara Jalan Sultan Iskandar dan Jalan Lim Bo Seng.

Kawasan itu telah dihiasi dengan pokok hiasan LED yang memberi satu pemandangan ceria dan mendamaikan buat para pengunjung.

Namun, sejak kebelakangan ini, suasana malam yang sepatutnya ceria menjadi suram kerana lampu hiasan dan beberapa kemudahan lain yang tidak diselenggara dengan baik.

Tinjauan PerakSilverYouth ke salah satu tempat pelancongan di bandaraya itu mendapati, banyak lampu yang tidak menyala sekaligus membuatkan suasana di situ tidak lagi menarik.

Selain itu, terdapat banyak kawasan yang tidak diterangi cahaya lampu dan berkemungkinan boleh mendatangkan bahaya kepada pengunjung lokasi berkenaan.

Pihak hotel yang didakwa bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan lampu-lampu di situ dikatakan tidak berbuat demikian sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Salah seorang pengunjung yang ditemui, Mohd Fazil Abdul Mokhtar, berkata terdapat lokasi itu kini berkeadaan gelap hingga menimbulkan perasaan gusar di kalangan ibu bapa yang membawa anak mereka mengunjungi kawasan berkenaan.

"Suasana malam kurang ceria kerana banyak lampu yang tidak berfungsi atau gagal diselenggara semula.

"Apabila kawasan ini bergelap, ia akan kurang daya tarikan pengunjung selain menjadi tumpuan maksiat," katanya.

Beliau berharap agar pihak yang berwajib dapat memperbanyakkan lagi gerai untuk menambah kecerian di kawasan berkenaan.

"Paling mudah ambil contoh di Dataran KTM supaya suasana di sini juga lebih menarik dan ceria, sekaligus menarik lebih ramai pengunjung," katanya lagi.

Zainal Rahim Baharum, 25, pula berkata, kemudahan serta keadaan gelap di sesetengah kawasan boleh mengancam keselamatan pengunjung yang datang ke situ.

"Keadaan sungai yang berbau dan lorong pejalan kaki yang gelap menyebabkan pengunjung rasa takut.

"Kalau macam kami orang bujang, mungkin boleh datang tetapi kalau yang berkeluarga mungkin tidak!

"Seelok-eloknya perbanyakkan lah lampu-lampu di lorong pejalan kaki bagi memudahkan pengunjung untuk berjalan di sini kerana dalam keadaan gelap, macam-macam boleh berlaku," ujar beliau

Selain itu, Juliza Mokhtardin, 30 pula berpendapat bahawa, faktor keselamatan menjadikan kawasan berkenaan semakin kurang didatangi pengunjung.

"Dari segi keselamatan, ia tidak sesuai berikutan kawasan ini agak kurang terang dan jika berlaku kecemasan, adalah sukar dikesan contohnya ketika terjatuh menunggang basikal.

"Kalau boleh, biarlah ada anggota RELA yang bertugas dengan membuat rondaan di tempat gelap," tambahnya.

Mengulas mengenai lampu yang terdapat di kawasan tersebut, beliau berkata pandangan sebelum masuk ke tempat itu memang menarik.

"Tetapi bila sudah masuk ke sini, kita dapat lihat terdapat banyak kawasan yang agak suram," jelas beliau

Sementara itu, pemilik salah sebuah restoran yang berada di pinggir Kinta RiverFront, Niaz Mohammad Khan, berkata sejak enam bulan lalu, pihak hotel yang bertanggungjawab untuk menyelenggara lampu di kawasan itu tidak lagi berbuat demikian.

"Sejak enam bulan lepas, mereka tidak datang untuk membaiki lampu walaupun kami sudah membuat laporan," katanya.

Beliau berkata, ia secara tidak langsung memberi kesan kepadanya sebagai peniaga di kawasan tersebut.

"Sekarang, tempat ini kurang pengunjung disebabkan lampu banyak rosak dan ini menyebabkan jualan agak kurang lebih-lebih lagi pada hari biasa," jelasnya.

Katanya lagi, kawasan berkenaan mempunyai potensi yang besar sebagai tarikan pelancongan sekiranya penambahbaikan dilakukan dengan sewajarnya.

"Mungkin mereka patut tambahkan aktiviti untuk menarik lebih ramai pengunjung datang ke sini kerana sekarang ini lebih ramai pergi ke Dataran KTM.

"Tempat ini boleh jadi satu tarikan kerana di Ipoh ini tiada tempat yang boleh orang datang lepak dan santai di tepi sungai," kata Niaz lagi.








0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top