IPOH: Timbalan Presiden Majlis Belia Negeri (MBN) Perak, Aswannudin Hariffudin telah membuat satu laporan polis susulan ugutan bunuh yang diterimanya dua hari yang lalu.
Laporan polis berkenaan telah dibuat kira-kira jam 10 pagi di Balai Polis Sungai Senam, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pesanan berbaur ugutan itu diterima melalui aplikasi whatsapp daripada nombor telefon bimbit yang tidak dikenali kira-kira jam 12.19 petang pada 5 April 2015.
“Semalam, pada jam 10.30 pagi, saya telah melihat satu pesanan berbunyi, ‘As salam..berapa harga tuan?’ beserta gambar sebilah parang di telefon bimbit saya.
“Saya percaya pesanan ringkas ini dihantar pada 5 April yang lalu dan laporan hari ini dibuat demi keselamatan diri saya sendiri dan keluarga,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini
Turut hadir sama Setiusaha Kehormat MBN Perak, Ahmad Shah Mohamad Salleh dan beberapa orang wakil majlis belia daerah.
Beliau berkata, ugutan bunuh itu berkemungkinan berpunca daripada kenyataan yang dibuat kepada pihak media pada 2 April 2015.
“Ia berkenaan memohon kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengambil tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.
“Ini berikutan tindakan mereka menghina dan biadap kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah baru-baru ini,” ujarnya.
Tegasnya, beliau tidak takut dengan ugutan seperti itu kerana beliau berpegang kepada prinsip berkata benar.
“Saya tidak takut dengan ugutan ini kerana isu yang dibawa adalah benar iaitu kesetiaan dan juga tingginya martabat Sultan Perak.
“Jika ugutan bunuh sebegini hanya untuk menghalang dan menyuruh saya senyap berkaitan isu berkenaan, saya tidak takut kerana saya rela mati untuk Sultan,” kata Aswannudin lagi.
Dalam pada itu, beliau telah dinasihatkan supaya tidak berhubung dengan nombor talian yang tentera di mesej berkenaan sehingga laporan polis dibuat.
“Saya serahkan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membuat siasatan terhadap ugutan ini,” jelasnya.
PERAK TODAY - klick di sini


0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.