IKLAN



 KUALA LUMPUR: Cuaca panas yang mencecah suhu 40 darjah Celcius antara cabaran getir yang terpaksa dilalui pelumba dari pasukan MTN-Qhubeka, Youcef Reguigui sebelum dinobatkan sebagai juara keseluruhan Le Tour De Langkawi (LTDL) 2015 yang berakhir, hari ini.
“Cuaca panas mencapai suhu 40 darjah Celcius di beberapa peringkat perlumbaan hingga menyukarkan saya untuk meneruskan kayuhan.
“Namun, saya tetap ingin melakukan yang terbaik kerana LTDL 2015 adalah penyertaan pertama di peringkat profesional,” ujar beliau ketika ditemui selepas perlumbaan berakhir.
Pemenang tempat pertama peringkat kelapan LTDL 2015, Andrea Guardini dari pasukan Astana Pro Team, menyifatkan perlumbaan itu sesuatu yang menakjubkan.
“Saya berjaya mendapat keputusan yang baik sepanjang perlumbaan ini dan menjadi antara pencapaian terbaik yang pernah diperoleh.
“Kemenangan ini bukan untuk saya sahaja tetapi juga harus dikongsi bersama pasukan,” ujar Andrea.
Manakala penyarung jersi biru, Caleb Ewan dari pasukan Orica Greenedge pula menyifatkan perlumbaan itu cukup sempurna.
“Kami datang dengan perancangan dan saya gembira dengan semngat kerja berpasukan yang ditunjukkan sepanjang perlumbaan,” ujar Caleb lagi.
Penyarung jersi merah, Kiel Riejnen dari pasukan UHC, berasa cukup gembira dengan kerjasama antara pasukan sepanjang LTDL 2015 berlangsung.
Bagi penyarung jersi putih yang dinobatkan sebagai pelumba terbaik Asia , Tomohiro Hayakawa dari pasukan AIS, kemenangan itu bakal membuka peluang untuknya melangkah ke peringkat yang lebih baik.
“Kemenangan ini membuka peluang kepada saya untuk mengembangkan kerjaya ke peringkat yang lebih baik di masa hadapan,” ujarnya.
LTDL 2015 melabuhkan tirainya hari ini selepas seminggu berlangsung dengan peringkat pertama bermula di Langkawi pada 8 Mac lalu dan berakhir di Kuala Lumpur.










15 Mar 2015

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top