HULU TERENGGANU - Tanggal 15 Ogos 2010 pastinya tetap terpahat di lubuk ingatan Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan atau lebih dikenali sebagai Lin yang kini terpaksa menanggung kecacatan di wajah akibat disimbah asid oleh ayah kandungnya sendiri.
Biarpun hari ini genap empat tahun kejadian kira-kira jam 1.45 pagi itu berlaku, namun bagi Lin yang sudah menginjak usia 12 tahun, memori hitam tersebut terlalu sukar dipadamkan dari kotak fikiran walaupun dia langsung tidak berdendam dan telah lama memaafkan ayahnya.
Malah, sehingga kini nalurinya terus dihimpit kesedihan kerana masih ada dalam kalangan rakan di sekolah mengejek dan melemparkan kata-kata yang cukup menghiris jiwa termasuk gelaran 'hantu' dek kerana wajahnya.
Mahu berjaya dalam UPSR
Menjejak kehidupannya kini, Lin mengakui dia masih sedih setiap kali digelar begitu tetapi ejekan itu dianggap satu cabaran untuk dia belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), September depan.
“Biasanya murid lelaki suka gelar saya hingga menyebabkan saya sedih, tertekan dan rasa rendah diri tetapi pihak sekolah serta cikgu banyak membantu. Nenek juga selalu berikan semangat serta kata-kata positif buat saya dan adik-beradik lain.
“Saya ingin buktikan pada kawan sekolah yang selalu mengejek, saya juga boleh mencapai keputusan cemerlang dalam UPSR sekali gus sebagai langkah pertama mencapai cita-cita untuk bergelar seorang doktor biarpun muka saya tidak sama seperti mereka.
“Walaupun keputusan percubaan UPSR baru-baru ini hanya berjaya mendapat 1A iaitu bagi Bahasa Malaysia (Penulisan) tetapi saya akan terus berusaha untuk buat yang terbaik. Saya tidak ikuti tuisyen berbayar tetapi hanya belajar dengan cikgu sahaja di sekolah.
“Masa seharian banyak dihabiskan bagi mengulang kaji pelajaran demi UPSR dijadualkan pada 9 hingga 11 September depan. Selain itu, banyak kelas tambahan serta kem turut dianjurkan pihak sekolah untuk murid tahun enam,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Tambah Lin yang belajar di Sekolah Kebangsaan Padang Setar dia kini tidak lagi mendapatkan rawatan susulan dengan mana-mana klinik atau hospital serta tidak menggunakan topeng muka sebagaimana disarankan kerana ia hanya membuatkannya tidak selesa.
Nenek faham derita cucu
Penderitaan dialami Nurul Dahyatul Fazlinda begitu difahami neneknya, Minah Omar, 62, yang juga mengakui memori tersebut sehingga kini masih jelas terbayang hingga sering membuatkannya menangis sendirian apatah lagi mengenangkan masa depan cucunya itu.
“Hidup Lin jauh berubah sejak kejadian itu, keceriaannya seolah-olah hilang dari dalam diri hingga menyebabkan dia sering bersedih. Syukurlah, masa telah dapat kembalikan senyuman tetapi naluri makcik cukup sedih apabila dapat tahu masih lagi yang gelar dia 'hantu'.
“Jika ada yang mengejeknya di sekolah, apabila pulang ke rumah dia sering luahkan kesedihannya. Makcik hanya mampu berikan semangat dan menyuruhnya agar jangan tidak lemah sebaliknya perlu belajar bersungguh-sungguh supaya berjaya dalam pelajaran.
“Sejak lebih setahun lalu, Lin serta tiga adik beradiknya yang lain, Nurul Afiqah Alina, 14; Nurul Farisya Hidayu, 11 dan Muhammad Irfan Firdaus, 6, dijaga oleh makcik sepenuhnya kerana ibu mereka, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 32, bekerja di Paka.
“Makcik hanya berniaga sayur di Hari Giliran (pasar pagi) di Kuala Berang pada Rabu dan Sabtu. Syukurlah bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM400 sebulan sedikit-sebanyak membantu, duit ini jugalah diguna untuk belanja sekolah Lin dan adik-beradiknya yang lain,” ujarnya.
JKKK sentiasa pantau perkembangan Lin
Sementara itu, Pengerusi JKKK Sekayu, Sudin Mamat berkata, pihaknya serta pelbagai pihak lain khususnya Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu sentiasa memantau perkembangan semasa kanak-kanak tersebut.
“Kita harapkan Lin dapat buat yang terbaik dalam UPSR nanti dan tidak jadikan ejekan diterima sebagai satu kelemahan sebaliknya kekuatan bagi belajar bersungguh-sungguh. JKKK juga ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantunya,” katanya.
Mengimbau kembali tragedi 15 Ogos 2010, dalam kejadian kira-kira 1.45 pagi di Kampung Sekayu, bapa Lin, Mat Haizan Mat Yasin, 32, (ketika itu) dilaporkan memecah masuk rumah ibu mertuanya, Minah dengan membawa bungkusan asid.
Dalam pertelingkahan ekoran kemelut rumah tangganya, asid yang dibawa itu terkena isterinya, Che Ku Zaimah, Nurul Dahyatul Fazlinda, anak bongsu mereka, Muhammad Irfan Firdaus dan Minah hingga menyebabkan Lin melecur teruk di bahagian muka.
Mat Haizan menerima balasan apabila dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun di Penjara Marang atas perbuatannya mencederakan isteri dan anak-anaknya di rumah ibu mertuanya di Kampung Sekayu.
0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.