Pasukan bola sepak Perak telah menjuarai perlawanan Bola Sepak Piala Agong Edisi Ke- 47 2014 selepas menewaskan Perlis di Stadium Perak, dekat Ipoh dengan jaringan 4-2.
Kemenangan tersebut melayakkan pasukan Seladang menjulang Piala Agong sekaligus mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.
Pasukan yang diketuai oleh Nasir Basharuddin selaku Kapten Perak telah mempamerkan aksi yang menarik di hadapan lebih 400 penyokong yang hadir.
Perak berjaya menjaringkan gol yang pertama seawal minit yang ke-12 selepas sepakan Khairul Ashraf Shahizan berjaya menembusi gawang gol pihak lawan.
Namun begitu, kegembiraan pasukan Perak itu tidak bertahan lama apabila Perlis berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-18.
Seterusnya, Perak telah menambah satu lagi gol melalui sepakan penalti yang dihadiahkan kepada pasukan itu apabila seorang pemain dikasari oleh pemain pertahanan Perlis pada minit ke-29.
Permainan kemudiannya dihentikan selama kira-kira 10 minit berikutan terdapat penyokong yang membakar 'flare' atau suar hingga menyebabkan asap memenuhi ruang padang.
Perlawanan disambung semula dan keputusan kekal 4-2 sehingga masa penuh tamat.
Pasukan Perak berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000, pingat dan piala manakala Perlis selaku naib johan pula menerima wang tunai berjumlah RM3,000 beserta pingat.
Pemain terbaik pula telah dianugerahkan kepada pemain Perak yang menyarung jersi nombor 10, Mohd Norhakim Isa.
Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Musa berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Turut hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dan barisan exco negeri.
0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.