KAMPUNG GAJAH: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menempatkan 85 pegawai psikologi di negeri yang dilanda banjir untuk memberi sokongan psikologi kepada mangsa dan petugas di pusat pemindahan banjir.
Timbalan Menteri, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata seramai 30 pegawai psikologi ditempatkan di Kelantan, Perak (19), Pahang (15), Terengganu (11), Kedah (tujuh) dan tiga pegawai di Perlis.
"Tugas mereka ialah untuk mengurangkan perasaan resah, bimbang, muram, sedih dan pelbagai perasaan negatif yang muncul berikutan bencana besar itu," katanya selepas meninjau pusat pemindahan banjir di Pusat Latihan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Galah dekat sini hari ini.
Azizah berkata, pegawai terbabit sudah ditempatkan di negeri terbabit banjir sejak bencana alam itu menimpa pada 24 Disember lalu hingga sekarang.
Beliau berkata, hingga kini sebanyak 356 sesi psikoterapi sudah dilakukan di pusat pemindahan banjir membabitkan 9,070 kanak-kanak dan 184 dewasa.
Sesi kaunseling akan terus dilakukan pada pasca banjir terutama kepada mangsa yang kediaman mereka musnah atau dihanyutkan banjir.
0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.