Menu

IKLAN


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Fariz Iswadi Ismail
PUTRAJAYA : Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi mengumumkan penubuhan Pusat Penyelidikan Kecemerlangan Negara yang memfokuskan kepada penyelidikan dalam bidang pengurusan bencana.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan berkata, sejajar penubuhannya, dana penyelidikan khas berjumlah RM20 juta yang menumpukan sepenuhnya untuk bidang pengurusan bencana dan mitigasi banjir disediakan.
Katanya, dana berupa geran penyelidikan itu boleh dipohon oleh Institut Pengajian Tinggi (IPT) melalui Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) dan Skim Geran Penyelidikan Fundemental (FRGS).
"Adalah diharapkan hasil kajian yang bakal dilaksanakan dapat menyumbang kepada pemantapan pengurusan bencana di negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2015 Kementerian Pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.
Hadis sama, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Kain Chiang dan P Kamalanathan; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamed serta Ketua Setiausaha II, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.
Muhyiddin juga mencadangkan supaya universiti tempatan memberi fokus kepada kajian mengenai pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan lestari.
Katanya, ia bagi mengelakkan masa depan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan hidup masyarakat terjejas akibat sumber alam yang tidak diurus dengan baik.
"Universiti yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini digalakkan membuat kajian berimpak tinggi yang berfokus kepada pengurusan sumber alam, penghasilan teknologi hijau, penciptaan tenaga boleh dibaharui, seni bina mesra alam dan hidrologi.
"Sudah sampai masanya kita menjajarkan semula pendekatan pembangunan negara dengan melihat pemeliharaan alam sekitar sebagai satu faktor penting dalam menjamin kelestarian kemajuan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat di masa hadapan," katanya.
- BH Online


0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top