SINGAPURA: Harga minyak turun dalam awal dagangan di Asia hari ini kerana sebahagian besar negara di rantau ini baru kembali daripada cuti panjang, menyebabkan Brent dilihat akan menguji paras sokongan AS$60 manakala kontrak AS berlegar sekitar AS$50.50.
Selepas jatuh lebih 50 peratus ke paras terendah dalam tempoh enam tahun pada Januari lalu, Brent naik kembali kepada AS$63 minggu lalu kerana pelabur terburu-buru mengambil kedudukan kerana laporan semakin banyak pelantar minyak shal AS ditutup.
Bagaimanapun, penganalisis menganggap kenaikan harga itu keterlaluan kerana data inventori di AS menunjukkan pasaran masih berhadapan dengan lebihan bekalan.
"Kontrak minyak mentah AS jatuh kerana pasaran sedar bahawa stok di negara itu masih tinggi sekali gus menampung penutupan beberapa pelantar," kata ANZ Bank dalam nota penyelidikan hari ini.
Penanda aras Brent pagi ini diniagakan pada AS$60.07 manakala West Texas Intermediate (WTI) pada AS$50.61.
Penurunan harga lebih ketara bagi kontrak WTI kerana lebihan bekalan di AS. Keadaan ini menjadikan WTI sekarang diniagakan pada diskaun AS$9.50 setong berbanding Brent.
Dalam pada itu, BNP Paribas dalam nota penyelidikannya mengunjurkan data bekalan di AS akan susut menjelang hujung tahun ini kerana banyak syarikat minyak menghentikan aktiviti cari gali sekarang. - Reuters
0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.