Menu

IKLAN


DATUK Seri G Palanivel (kanan) melancarkan Koleksi Khas Setem Kenang-Kenangan dan Sampul Surat Hari Pertama Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda di Pusat Konservasi Giant Panda, Zoo Negara di sini hari ini. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
KUALA LUMPUR: Dalam usaha membantu meringankan beban rakyat dan meningkatkan minat terhadap konservasi haiwan, kadar pakej tiket masuk ke Zoo Negara dan Pusat Konservasi Panda Gergasi untuk pelajar sekolah akan dikurangkan sebanyak 44 peratus berkuatkuasa esok.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G.Palanivel berkata, kadar pakej tiket untuk setiap pelajar sekolah rendah dan menengah itu dikurangkan sebanyak 44 peratus daripada harga asal iaitu daripada RM18 kepada RM10. Manakala bagi guru yang mengiringi kumpulan pelajar sekolah terbabit, mereka akan menikmati pengurangan sebanyak 50 peratus iaitu daripada RM30 kepada RM15. "Tawaran pakej baharu ini akan berkuatkuasa mulai esok dan pihak Zoo Negara juga akan mempertimbangkan pakej diskaun yang lain yang mana sudah tentunya ia akan membantu meringankan beban rakyat, " katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Koleksi Khas Setem Kenang-Kenangan dan Sampul Surat Hari Pertama Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Panda Gergasi di Zoo Negara di sini, hari ini.
Terdahulu, Palanivel yang juga Anggota Parlimen Cameron Highlands merasmikan setem khas itu yang memaparkan gambar panda Xing Xing dan Liang Liang, pasangan panda yang dipinjamkan dari China.
Peminat setem boleh mendapatkan koleksi setem panda itu di semua pejabat pos seluruh negara mulai esok. Palanivel juga berharap Beijing akan melanjutkan lagi tempoh peminjaman pasangan panda itu untuk 10 atau 20 tahun lagi dan berharap pasangan panda itu melahirkan anak selepas musim mengawan iaitu dari bulan Mei hingga Julai.
Mengulas lanjut, Palanivel berkata kehadiran pasangan panda itu telah menarik 235,732 orang pengunjung ke Pusat Konservasi Panda Gergasi dari Jun hingga Disember 2014. Pasangan panda gergasi yang menjadi simbol hubungan diplomatik 40 tahun antara Malaysia dan China itu tiba di negara ini pada 21 Mei 2014 dan akan berada di sini untuk sedekad menerusi Program Penjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi. Melalui program perjanjian yang ditandatangani pada 2012 itu, Malaysia berpeluang menjalankan penyelidikan konservasi panda gergasi selain dapat membangun dan melatih kepakaran tempatan. - BERNAMA


0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top