Menu

IKLAN


Saya terpanggil untuk menjawab rencana yang dicoret rakan ahli Parlimen Belia saya, Mujahid Hasanuddin bertajuk Ahli Parlimen Belia Tolak Politik Lucah yang dinukil 18 Februari lalu. Sebagai salah seorang ahli Parlimen Belia dan juga Felo Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI) di bawah Pemuda UMNO sendiri, adalah adil untuk rencana yang tampak lompong fakta dan pendek naratifnya itu dibalas untuk pertimbangan pembaca.
Saudara Mujahid secara keseluruhannya menyebut bagaimana Pemuda UMNO dan AKHI hilang sengat politik baharu kita dek kerana satu program. Satu program selama tiga jam ini, disertai hampir lima ratus orang, dengan soalan-soalan dari peserta - dicernakannya kepada hanya sebuah program politik lucah untuk menjatuhkan Anwar.
Pertamanya, tidak tepat untuk menghakimi Pemuda UMNO hanya dengan satu program. Puluhan jika tidak ratusan program Pemuda UMNO dirangka dan dilaksana untuk memberi nilai tambah atau ‘value add’ kepada anak muda. Portal `For The Rakyat’ iaitu inisiatif mengumpul komen dan masalah rakyat; program ProSkill, program kemahiran insaniah untuk profesional mudadan juga BN Youth Volunteers yang memberi platform baharu kepada anak muda untuk menjadi sukarelawan politik - hanyalah cebisan kecil daripada lembaran baharu pendekatan politik berasaskan hasil yang dibawa Pemuda UMNO tahun-tahun kebelakangan ini.
Kami di AKHI pula memang sangat-sangat mengalu-alukan politik idea dan politik warga seperti disebut saudara Mujahid. Forum-forum isu semasa – seperti pemerkasaan peranan wanita bersama Ketua Pergerakan Puteri UMNO, YB Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan isu harga barang bersama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob – diselangi program mingguan kopi@akhi direncana untuk tujuan pendebatan hujah dan soal jawab terbuka.
Jika tidak percaya, Saudara Mujahid sendiri dialu-alukan untuk turut serta mengambil bahagian dalam usaha kami membawa politik baharu dan politik warga yang beliau uar-uarkan.
Beralih fokus kepada program Dialog Khas bersama Tan Sri Shafee Abdullah yang menjadi kerisauan penulis, kesimpulan yang dibuat amat enteng. Yang jelas sekali, jika diamati dengan betul dan fikiran yang terbuka, baik oleh yang berpanas sesak di AKHI pada malam Rabu lalu, mahupun yang menonton secara ‘online’, dialog ini bukan semata-mata politik lucah walhal jauh daripada itu. Berbagai persoalan dirungkai, berbagai-bagai jawapan dipersembahkan.
Sebagai contoh, Tan Sri sendiri menjawab tentang apa relevannya isu sumpah kepada kes tersebut. Secara bersemuka, Tan Sri sendiri juga telah menjawab perlian segelintir hadirin yang bertanyakan adakah logik untuk tertuduh melakukan perbuatan liwat walaupun beliau jauh lebih tua dan kurang sihat berbanding yang menuduh.
Jika benar program ini hanya untuk menjatuhkan Anwar, hanya politik lucah, apa logiknya bagi pihak penganjur membenarkan soalan tentang keputusan Mahkamah Tinggi (yang telah membebaskan Anwar) yang turut dijawab oleh Tan Sri?
Adakah pembuka kata Tan Sri tentang ciri-ciri badan kehakiman negara satu politik lucah? Adakah tindakan Tan Sri menjawab soalan panas tentang pola menghina mahkamah yang meningkat di kalangan rakyat juga sebuah politik lucah? Bagaimana pula dengan soalan kepada Tan Sri tentang kredibiliti dan kelemahan pasukan pihak pendakwa raya sebelum ini?
Memang tidak kami nafikan, ada juga penerangan tersentuh elemen lucah, namun bukanlah niat kami dan juga bukanlah bidang kuasa kami untuk menyekat fakta daripada diceritakan. Secara keseluruhannya, Tan Sri berbicara dan menjawab soalan-soalan teknikal dan persepsi berkaitan kes ini – bukan untuk menjatuhkan Anwar tetapi hanya dengan satu tujuan.
Tujuan itu adalah untuk menjawab segala tuduhan konspirasi politik UMNO yang dilontar pelbagai parti sepanjang enam tahun ini. Semua tuduhan dan tohmahan yang dilempar, hari demi hari, waktu demi waktu, tanpa dijawab UMNO sendiri kerana menghormati proses kehakiman.
Jika terbuka hati untuk mendengar sendiri apa yang diperkatakan Ketua Pemuda UMNO sendiri, bukan sengaja program ini dilaksana. Bukan sengaja membuka semula sebuah konflik yang bukan hanya menjatuhkan Anwar Ibrahim tetapi selama ini mencalit imej buruk kepada parti UMNO itu sendiri.
Tetapi apabila naratif utama pihak di sebelah sana bahawa ini semua konspirasi politik, bahawa UMNO lah dalang bagaimana Anwar Ibrahim dihukum ke penjara, bahawa UMNO lah yang jahat dan perlu dihakimi rakyat hakim negara, tiada pilihan lain terpapar selain menjawab tuduhan konspirasi politik ini.
Dialog ini dialog terbuka. Hadirinnya, sesiapa sahaja boleh hadir. Soalannya, sesiapa sahaja boleh lontarkan. Yang nak lihat dan tonton di rumah, siaran lansung disediakan hasil kerjasama MobTV, sebuah medium yang banyak saja pengisiannya mengkritik kerajaan dan UMNO – namun dibenarkan membuat siaran langsung – agar sesiapa sahaja boleh tontoni.
Jika benar nak main kotor, bukan Tan Sri Shafee yang dipanggil, tapi mereka yang ada motif besar menentang Anwar baik seteru politik beliau, baik mangsa peribadi beliau. Kalau benar nak main kotor, baik panggil saja Saiful untuk berucap – bukankah dia alat konspirasi politik UMNO?
Namun niatnya sebuah pertahanan, sebuah jawapan, bukan sebuah serangan. Pertahanan yang perlu dilaksana, hasil tohmahan dan tuduhan harian sepanjang enam tahun ini.
Sejak forum dilangsungkan, banyak yang puji, banyak juga yang bangkang. Namun yang bangkang banyaknya kerana merasakan ini sebahagian daripada konspirasi politik UMNO bermula enam tahun yang lepas. Namun jawabnya mudah.
Forumnya terbuka. Sesiapa sahaja boleh hadir. Apa sahaja soalan boleh diajukan. Ditayangkan secara langsung online. Jika masih merasakan ianya konspirasi, datang dan kemukakan soalan anda. Apa sahaja.
Bukan hanya menafikan dan mengkritik sebuah platform terbuka, yang nawaitunya sendiri adalah untuk membenarkan anda mengkritik secara berdepan-depan apa sahaja yang terbuku di hati sanubari.
Ianya terpaksa dilaksana kerana tohmahan yang dilontar. Jika tidak, apa sebabnya bagi UMNO membuka semula cerita ini, dengan sebuah program terbuka, dengan hadirin tak kira siapa, dengan video dimuat naik untuk tatapan semua walhal Anwar sudah dipenjara – bukankah tanggapan ramai yang UMNO itu sendiri sebuah parti yang alah pada pendekatan terbuka?
Al Yashir Yahaya
Felo Akademi Kempimpinan Kapten Hussein (AKHI)
Ahli Parlimen Belia Perak

Al Yashir Yahya juga menjadi panel Program Hello YB yang akan berlangsung malam ini di Cherri Corner





0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top