KUALA LUMPUR: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) telah membuat laporan polis berkenaan sebuah drone yang telah dikesan terbang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.
Perkara itu dimaklumkan seorang juruterbang, Wan Arief Imran sebentar tadi ketika dihubungi Astro AWANI.
Beliau sebelum itu telah pergi ke pejabat DCA di Putrajaya untuk melaporkan tentang kejadian penerbangan drone berkenaan yang disifatkannya merbahaya.
Katanya pelanggaran drone dengan pesawat yang sedang berlepas atau mendarat boleh menyebabkan kemusnahan kepada pesawat tersebut.
"Saya dah berjumpa dengan Pengarah Bahagian Keselamatan DCA, beliau kata DCA telah mengambil maklum tentang perkara ini dan telah membuat laporan polis dan ianya sedang disiasat.
"Selain itu mereka juga telah memaklumkannya kepada Malaysia Airports Berhad (MAB) dan semua menara kawalan," jelasnya.
Ditanya sama ada beliau ingin membuat satu lagi laporan polis, Wan Arief berkata, beliau menyerahkan semua siasatan kepada pihak DCA dan polis.
Sementara itu, Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengesahkan laporan polis tersebut.
"Ya, DCA ada membuat polis untuk menyiasat perkara ini dan supaya ianya tidak berlaku lagi. DCA juga akan keluarkan kenyataan berhubung perkara ini dalam masa terdekat," katanya kepada Astro AWANI.
Foto kemunculan sebuah drone yang diterbangkan berdekatan KLIA telah mencetuskan kebimbangan orang ramai terutama di media sosial, atas faktor keselamatan.
Drone jenis DJI Phantom 2 tersebut dikatakan mengambil beberapa gambar pesawat mendarat di KLIA, yang mana gambar-gambar itu telah dimuatnaik oleh pengguna di Facebook.
Terdapat pengguna Internet tampil menyelarnya kerana ia didakwa boleh membahayakan pesawat.
Gambar itu sebelum ini telah dimuat naik ke Instragram kira-kira tiga bulan lagu oleh pengguna dikenali sebagai 'yengnasir'.
Meskipun di'marahi' orang ramai, 'yengnasir' tetap mempertahankan tindakannya itu.
- Astro Awani -

0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.