DALAM bidang lakonan, pelakon kacak ini turut tersenarai di antara aktor lelaki yang berbakat besar dan mampu membawakan pelbagai watak dengan berkesan.
Berilah apa sahaja watak kepadanya, pemilik nama Sharnaaz Basir Ahmad, 30, ini pastinya memberi impak yang besar kepada penonton khususnya peminat.
Tidak hanya tertumpu dalam bidang lakonan semata-mata, ruang yang ada dalam kepadatan jadualnya itu turut diisi dengan menguruskan perniagaan pusat gimnasium, Sharnaaz Ahmad Fitnes Centre, yang terletak di Segambut.
Bersesuaian dengan dirinya yang mementingkan kesihatan, kini pelakon drama, Kasih Darmia ini telah dilantik sebagai duta untuk produk kesihatan dan kecantikan, Turbolicious, dibawah label syarikat, Sciencetech Industries.
Walaupun belum diumumkan secara rasmi lagi, Sharnaaz memberitahu bahawa ianya bakal dilakukan dalam jangka masa terdekat ini secara menyeluruh.
“Insya-ALLAH, pelancaran produk ini akan dilakukan pada pertengahan bulan April nanti dan produk ini bukanlah seperti produk biasa yang lain. Saya tahu, sekarang terlampau banyak produk yang dijual, namun fungsinya adalah lebih kurang sama.
“Saya tertarik dengan produk ini kerana selain untuk mencantikkan, ia juga adalah produk kesihatan yang mengandungi formula antioksidan dalam makanan. Tambahan pula, saya jenis yang kuat makan.
“Alhamdulillah, sebulan saya cuba mengamalkan produk ini dan hasilnya amat memuaskan. Selain memutihkan, ia juga adalah produk anti penuaan. Malah, ianya sesuai digunakan untuk golongan lelaki dan wanita,” katanya lagi.
Lakonan masih utama
Meskipun sibuk dalam perniagaan ini, namun Sharnaaz memberitahu bahawa fokus utamanya lebih kepada bidang lakonan yang diceburi sejak penghujung 2000 lalu.
Jelas pelakon drama bersiri, Bukan Kerana Aku Tak Cinta (BKATC) ini, tidak lama lagi, dia bakal terlibat dalam beberapa naskhah lakonan selepas ini.
“Insya-ALLAH, dua minggu lagi saya bakal terlibat dalam drama, Sejadah Panjang, untuk siaran di Astro. Selebihnya lagi, saya akan muncul dalam drama bersiri untuk slot Akasia di TV3.
“Walaupun sibuk dengan menguruskan pusat kesihatan dan produk baharu itu, namun perniagaan adalah aktiviti sampingan saya sahaja.
“Sesibuk manapun saya, komitmen utama adalah kepada lakonan. Namun, itu tidak bermakna saya akan statik dengan satu-satu watak sahaja,” katanya lagi.
Tambah Sharnaaz, pertama kali diberi kepercayaan membawakan watak lelaki lembut dalam drama bersiri, Suamiku Encik Sotong, ia adalah karya eksperimentalnya yang berjaya.
“Saya suka watak sebegini yang boleh dikatakan satu eksperimen buat diri saya sendiri. Malah, kalau ditawarkan lagi watak seperti ini saya akan terima dan memperbaiki kekurangan sebelum ini.
“Untuk drama itu, saya boleh simpulkan bahawa jangan takut untuk mencuba sesuatu perkara di luar kemampuan kita dan tidak salah sekiranya mencuba,” jelasnya.
- Sinar Harian -
0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.