IPOH: Polis Perak berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan permit kerja pekerja asing yang didalangi oleh seorang warga tempatan dan asing di Daerah Manjung, Jumaat lalu.
Ia susulan penangkapan 20 individu dan rampasan 63 pasport dalam beberapa serbuan yang dilakukan hasil maklumat orang awam, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Perak, Supt Maszely Minhad.
“Pada 10 hari yang lalu, sepasukan polis yang terdiri daripada pegawai JSJK Perak telah membuat risikan dan intipan atas maklumat yang menyatakan bahawa terdapat sindiket yang memalsukan permit kerja dan membekalkan pekerja khususnya kepada majikan di Daerah Manjung.
“Hasilnya, pada 6 Mac iaitu jam 1.30 pagi, satu pasukan khas telah berjaya menahan sebuah kereta dan menangkap tiga orang lelaki warga asing berikutan gagal menunjukkan pengenalan diri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bilik Media, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Perak di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan kenderaan berkenaan menemui 60 pasport yang dipercayai mengandungi permit kerja pekerja asing palsu.
“Hasil daripada siasatan yang dijalankan terhadap suspek yang ditahan, kita telah melakukan serbuan di dua buah rumah di Daerah Manjung dan berjaya menangkap 15 orang lelaki yang mana kesemuanya tidak memiliki dokumen perjalanan diri.
“Susulan daripada serbuan terbabit, kita telah membuat satu lagi serbuan terhadap sebuah rumah kedai yang dipercayai menjadi tempat mencetak permit palsu berkenaan.
“Kita telah menangkap seorang lelaki Melayu tempatan dan seorang warga asing India yang disyaki menjadi dalang kepada sindiket berkenaan,” ujarnya.
Katanya, pelbagai dokumen lain serta beberapa peralatan yang digunakan dalam sindiket berkenaan turut dirampas.
“Kita turut berjaya merampas peralatan yang dipercayai digunakan antaranya komputer riba, mesin pencetak, modem internet serta mesin pengimbas,” kata beliau lagi.
Maszely berkata, kes berkenaan telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda serta sebatan dan turut disiasat di bawah beberapa akta lain.
“Pihak polis ingin menasihatkan kepada majikan dan individu yang berkemungkinan secara tidak sengaja menggajikan pekerja-pekerja yang dibekalkan oleh sindiket ini supaya tampil kehadapan untuk membuat laporan polis.
“Kita percaya kegiatan ini bergiat aktif di Manjung sekurang-kurangnya sejak setahun yang lalu,” kata beliau lagi.
- Perak Today -

0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.