IPOH: Seramai 203 pakar-pakar perubatan, ahli akademik dan pakar teknologi dari dalam dan luar negara akan ‘berkampung’ di bandaraya ini selama tiga hari bersempena dengan 2nd International Conference on Tropical Medicine & Infectious Diseases bertemakan ‘Diseases Without Borders: Challenges and Preparedness’.
Konferens tersebut telah berlangsung bermula pada hari ini sehingga 1 Oktober hadapan bertempat di Hotel Syeun,yang dianjurkan oleh Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Perubatan Diraja Perak (RCMP).
Pengerusi UniKL RCMP, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, antara tujuan konferens ini diadakan adalah sebagai platform untuk pakar-pakar berkongsi idea, dan pandangan di dalam industri perubatan.
“Pertama sekali adalah untuk kita mempromosikan RCMP sebagai fakulti perubatan sebab itu kita jemput peserta-peserta antarabangsa dan tempatan untuk mereka memberi ceramah, membentangkan kertas kerja dan kes-kes perubatan di tempat mereka.
“Jadi ini adalah salah satu forum perubatan yang biasa dibuat sebagai tempat untuk bertukar-tukar pendapat dan idea memandangkan pada masa ini, isu-isu perubatan terutama sekali penyakit berjangkit bukan lagi masalah setempat, tetapi ianya masalah global,”katanya dalam sidang media yang diadakan selepas majlis perasmian konferens tersebut.
Beliau turut memberi contoh kes seperti penyakit berjangkit Ebola yang berlaku di Afrika Barat.
“Contohnya seperti kes Ebola yang berlaku di kawasan Afrika Barat, tetapi disebabkan ada pergerakan manusia, kes ini sudah berlaku di United Kingdom, Sepanyol dan sebagainya.
“Ini semua adalah fenomena pada masa kini. Jadi untuk itu, kita perlukan pendekatan baru bagi mengatasinya,”ujarnya.
Tambahnya lagi, untuk mengatasai masalah seperti ini, ianya melibatkan bantuan banyak pihak.
“Kerja-kerjanya tidak boleh dilakukan seorang diri. Tetapi ianya adalah kerja berpasukan dan melibatkan koloborasi antara pasukan, tempatan, Negara. Jadi bagaimana, kalau itu tak ada, susah untuk dikawal.
“Kita mendapat maklumbalas yang bagus daripada peserta. Sambutan juga baik dari dalam Malaysia dan juga dari luar Negara. Mereka datang untuk menimba ilmu, menyumbang dan berkongsi pengalaman,”ujarnya.
Antara peserta yang hadir adalah terdiri daripada Brazil, Australia, Jepun, Filipina dan United Kingdom selain daripada peserta tempatan.
Yusof berkata, RCMP bercadang untuk menganjurkan konferens ini dua tahun sekali dengan menggunakan tema yang berbeza.

0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.