Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh selepas mengambil kira isu kejatuhan nilai ringgit yang menjejaskan pengajian pelajar tempatan di luar negara untuk membayar kos yuran pengajian serta sara hidup dan pelaksanaannya berkuatkuasa serta-merta.

Kata beliau, proses dasar pindah kredit tersebut turut melibatkan pelajar tempatan yang sedang mengikuti program persediaan ke luar negara seperti Program Pemindahan Ijazah Amerika Syarikat (ADTP) dan Program Pemindahan Ijazah United Kingdom (UKDTP)) atau Program Pemindahan Ijazah Australia (Australia DTP).

“Dasar baharu ini adalah untuk semua pelajar yang mengikuti pengajian di universiti di seluruh dunia dan tidak gagal dalam pengajian. Bagaimanapun tumpuan sekarang pada universiti di AS dan UK kerana faktor kejatuhan nilai ringgit yang sangat memberi kesan terhadap para pelajar kita.

“Dengan keputusan itu, kuasa untuk menentukan pemindahan kredit akan dibuat sepenuhnya berdasarkan keputusan senat universiti. Kita percaya kepada senat memandangkan institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia mempunyai sistem urus tadbir dan polisi pengambilan pelajar yang mantap,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dan Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Rujhan Mustafa.

Mengulas lanjut Idris berkata, pelajar program ijazah yang mahu melakukan pemindahan kredit itu dibenar membuat permohonan terus kepada IPT tempatan bagi menyambung pengajian tanpa melalui MQA dan kaedah tersebut turut terpakai untuk pelajar ADTP dan UKDTP serta Australia DTP.

Beliau berkata, dasar pemindahan kredit itu namun masih tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan iaitu pemindahan mesti dilakukan secara pemetaan kursus (subject to subject mapping) oleh IPT tempatan.

Katanya, melalui konsep pindah kredit secara horizontal itu, tiada had kredit yang ditetapkan untuk dipindahkan ke program yang bakal diikuti oleh pelajar Malaysia di IPT tempatan.

Bagaimanapun ujarnya, untuk membolehkan IPT tempatan menganugerahkan skrol pelajar terbabit maka syarat pemastautin di IPT tempatan akan digunakan iaitu minimum selama satu tahun bagi program ijazah sarjana muda.

Idris menjelaskan, pelaksanaan dasar baharu itu turut mengambil kira keluhan ibu bapa yang terkesan dengan situasi ekonomi terkini, justeru kementerian bersetuju memberi kemudahan bagi memastikan pengajian pelajar tempatan tidak terganggu.

“Setakat ini kita mempunyai kira-kira 80,000 pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian di luar negara iaitu sebanyak 11,000 di UK, 8,000 di AS dan kira-kira 20,000 orang pelajar di Australia,” katanya lagi.