KAMPUNG GAJAH: Kerajaan menggalakkan usahawan bumiputera untuk melibatkan diri dalam sektor import atau perdagangan lembu serta kambing di negara ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, kebanyakan pihak yang terlibat dengan bidang ini adalah dalam kalangan mereka yang bukan beragama Islam.
“Walaupun dalam Malaysia ini banyak yang menternak lembu, tetapi masih tidak cukup lagi. Kita punya keluarannya tidak sampai pun 30 peratus daripada apa yang kita makan. 70 peratus kita import daripada luar negara.
“Kita prihatin kerana yang dalam bidang mengimport ini kebanyakannya ialah orang bukan Melayu iaitu India dan Cina, tetapi yang makan banyak daging ini adalah orang Melayu,” katanya.
Tambahnya, ia perlu dititikberatkan kerana ia bertujuan untuk menjamin sama ada daging yang diimport tersebut terjamin dan selamat untuk dimakan.
Ujar beliau lagi, pengimport bumiputera di negara ini tidak memperolehi peluang untuk menceburi bidang tersebut berikutan tidak mempunyai saluran bagi mengembangkan perniagaan mereka.
“Pengimport-pengimport bumiputera ini belum dapat ruang dan peluang untuk menjadi pengimport yang maju dan berjaya atau mengimport dalam bilangan yang besar.
“Kalau boleh kita hendak lihat Melayu bumiputera boleh meniaga macam orang lain dan tugas saya adalah untuk buka jalan kepada pengusaha-pengusaha ini,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Korban dan Aqiqah PEKIDA Malaysia cawangan Kampung Gajah di sini, hari ini.
Justeru itu, beliau telah mengambil inisiatif untuk membawa pengusaha, peniaga dan usahawan bumiputera untuk pergi ke Australia bagi memberikan ruang kepada mereka untuk turut sama dalam sektor berkenaan.
“Sebab itu saya pergi ke Australia, bawa beberapa syarikat, peniaga dan pengusaha lembu yang mengimport lembu serta baru berjinak-jinak untuk menceburi bidang ini untuk melihat apakah ruang yang mereka boleh buat dan meniaga lebih besar lagi.
“Kita di pihak kerajaan adalah sebagai pemudah cara untuk membantu supaya pengimport bumiputera juga dapat peluang mengimport dan mengambil bahagian dalam perdagangan lembu dan kambing,” tegasnya lagi
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya sedang melihat aspek untuk menambah jumlah ternakan dalam negara.
“Soal untuk menambahkan bekalan dalam negara belum lagi. Saya tengah melihat aspek itu iaitu untuk menambah pengeluaran daging dalam negara sebagai mengurangkan import,” jelasnya lagi.
Terdahulu, beliau telah menyampaikan sumbangan kepada 100 orang anak yatim dari kawasan sekitar yang turut hadir dalam majlis berkenaan.
Beliau juga tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra dengan orang ramai yang hadir.

0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.