Menu

IKLAN


KEBOLEHAN membuat kuih dan biskut berjaya mengubah kehidupan seorang ibu tunggal di sini apabila dia mengambil keputusan menceburi bidang perniagaan bagi menampung perbelanjaan  empat anaknya.

Sebelum menceburi perniagaan kuih muih, Nurul Farah Huda Mohd Nasir, 32 pernah membuka gerai pisang goreng di hadapan kediamannya. 

Menurutnya, dua tahun lalu perniagaan itu mendapat sambutan mengalakkan menyebabkan dia menambah hidangan kuih untuk melihat reaksi pelanggan.

“Alhamdulillah, sambutan terhadap kuih seri muka durian yang saya hasilkan sangat menggalakkan malah turut menerima banyak tempahan.

"Selepas beberapa kali menerima tempahan membuat kuih, saya berhenti menjual pisang goreng dan menumpukan perhatian sepenuhnya dalam perniagaan tersebut," katanya.

Nurul Farah Huda berkata, pelanggan meminati kuih seri muka durian dihasilkan dan kuih itu sering mendapat permintaan tinggi.

“Selain itu, saya turut membuat kuih-muih lain seperti karipap, keria serta pelbagai jenis lagi untuk dijual di kedai berhampiran.

"Kini, saya cuba berjinak-jinak dalam pembuatan biskut bangkit cheese, seaweed crunch serta puding sentap perisa Milo dan strawberi bagi mempelbagaikan produk jualan," katanya.

Nurul Farah Huda berkata, dengan bantuan peralatan membuat biskut serta tunjuk ajar diberikan oleh Majlis Agama Islam Perak (Maipk) dan Konsultan Proper A, prestasi perniagaan diceburi semakin meningkat.

“Mereka turut memantau saya untuk melihat  prestasi perniagaan saya berada ditahap baik atau sebaliknya.
"Malahan, ramai pelanggan amat berpuas hati dengan kuih dan biskut yang dijual kepada mereka," katanya.

Selain itu, Nurul Farah Huda berkata, pada Ramadan lalu dia turut menerima projek untuk membuat hamper biskut raya daripada Maipk dengan kerjasama asnaf lain dan bantuan jabatan itu sangat dihargai.

Katanya, sepanjang dua tahun menjalankan perniagaan ini, dia pernah menerima tempahan sebanyak 180 bekas biskut bangkit cheese dan kuih seri muka untuk satu majlis, di sini.

"Kuih yang dihasilkan dijual serendah RM10 untuk balang kecil manakala RM20 untuk satu talam kuih seri muka durian," katanya.

Orang ramai yang berminat untuk menempah kuih dan biskut buatan Nurul Farah Huda boleh menghubunginya di talian 017-462 8682 atau E-mel durianserimuka@gmail.com.

-Sinar Harian


0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top