Menu

IKLAN


KUALA LUMPUR - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu kekal kreatif dan inovatif bagi memastikan setiap produk dan perkhidmatan yang dihasilkan seiring dengan keperluan semasa. 
 
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad berkata, DBP adalah antara agensi kerajaan yang berperanan penting ke arah menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, khususnya dalam aspek pembangunan dan penyebaran ilmu pengetahuan.
 
"Sasaran utama PPPM 2013-2025 adalah untuk melahirkan pelajar berkemahiran termasuk dari segi kepimpinan, dwibahasa, berfikir, ilmu pengetahuan, etika dan kerohanian yang tinggi. 
 
"Maka, DBP perlu memainkan peranan untuk menghasilkan bahan pembelajaran yang bertunjangkan kreativiti dan inovatif selain mampu menarik minat pelajar mencintai ilmu pengetahuan," katanya ketika berucap pada Hari Inovasi dan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 DBP di sini, hari ini. 
 
Turut hadir, Ketua Pengarah DBP Datuk Dr Awang Sariyan dan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Nafisah Ahmad.  
 
Berdasarkan laporan Indeks Inovasi Global (GII) tahun ini, Malaysia berada di kedudukan ke-32 bagi indeks inovasi dunia, naik satu tangga daripada kedudukan ke-33 tahun lepas. 
 
Justeru, Madinah menyeru warga DBP sentiasa mengamalkan prinsip pekerja berinovasi seperti yang digariskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk budaya amalan kerja terbaik, semangat patriotik, budaya kreatif dan inovasi, berilmu serta kebolehpercayaan. 
 
Tambahnya, dalam usaha membudayakan inovasi, DBP disaran meningkatkan kerjasama bestari dan sinergi dengan pihak luar yang turut menyumbang ke arah peningkatan produktiviti dan kualiti perkhidmatan. 
 
Pada majlis itu, seramai 65 kakitangan DBP menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, selain enam kategori lain berkaitan inovasi yang diwujudkan seperti Anugerah Citra Sahabat DPB, Anugerah Citra Penerbitan DBP dan Hadiah Galakan Inovasi DBP. 

- Bernama


0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top