TIDAK dinafikan, puncak karier pemain skuasy negara, Datuk Nicol David mengalami draf penurunan ketika ini.
Selepas kehilangan gelaran nombor satu dunia dan terbaru kecundang dalam Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat 2015 di tangan pemain England, Laura Massaro, kekalahan kelima beliau bagi tahun ini.
Juara lapan kali skuasy wanita dunia berusia 32 tahun itu tewas 2-3 kepada pemain pilihan kelima itu di separuh masa kedua perlawanan suku akhir.
Perlawanan sengit lima set di Drexel University, Philadelphia, itu mengambil masa sejam 11 minit.
Bagaimanapun, perkembangan terkini ini tidak menggusarkan jurulatih kebangsaan, Peter Genever yang tetap yakin bahawa Nicol mampu melakukan kebangkitan kembali menjadi pemain terulung.
Genever akui, untuk musim ini Nicol hanya memenangi satu kejuaraan iaitu saingan Cleveland Classic, pada Februari lalu.
Beliau juga hilang status ratu dunia yang dirampas Raneem El Welily dari Mesir, September lalu.
Malah, beliau dikejutkan kekalahan dengan pemain remaja Mesir meningkat naik, Nouran Gohar di Terbuka China.
Nicol komited sesi latihan
Menurut Genever, Nicol menunjukkan komitmen tinggi dan kemahuan bergelar pemain terbaik dunia termasuk gigih menjalani latihan semasa berada di Kuala Lumpur.
“Saya berlatih dengan Nicol setiap kali dia berada di Kuala Lumpur dan dia tetap menjalani latihan dengan baik.
Dia pasti mendapat manfaat daripada tempoh latihan yang panjang,..apatah lagi baru sahaja pulih daripada kecederaan betis yang memaksanya menarik diri daripada Terbuka Macau bulan lalu.
"Saya percaya Nicol masih boleh menang dalam acara akan datang khususnya di Qatar Classic (29 Oktober-6 November), Terbuka Hong Kong (29 November-6 Disember) dan Kejohanan Dunia di Kuala Lumpur (11-18 Disember).
"Saya akui ia sukar tetapi dia akan bersaing keras dalam ketiga-tiga acara ini," katanya.
Dalam pada itu, Genever tidak menafikan perubahan ketinggian garisan keluar bola kepada 17 ini antara faktor kejutan berlaku dalam kejohanan besar kebelakangan ini.
Cabar pemain muda menyinar
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Genever mencabar pemain muda lain seperti Teh Min Jie, Rachel Arnold dan Vanessa Raj beraksi lebih cemerlang pada kejohanan antarabangsa yang disertai mereka.
“Rachel, Min Jie dan Vanessa telah lakukan dengan baik setakat ini. Tetapi mereka perlu sekurang-kurangnya memenangi salah satu daripada pertandingan Sirkit Skuasy Jelajah Malaysia (SSJM).
“Terdapat empat kejohanan SSJM selepas ini, saya harap mereka dapat memenangi gelaran terutama dalam acara wanita,” kata Genever.
Mengikut kalender SSJM, pusingan kelapan daripada 12 keseluruhan akan berlangsung di Kuala Lumpur bermula 10 hingga 14 November depan.
-Sinar Harian

0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.