IKLAN

Meskipun bergelar sebagai seorang pendidik sejak  lapan tahun lalu,  Mohd Saiful Bahrin Mohd Rani 30, membuktikan minat dan kesungguhan juga mampu menjadikan seseorang itu berjaya. 
  
Bermula  hanya sekadar suka-suka, pemegang Diploma Penyejukan dan Penyamanan Udara (Elektrik), Maktab Perguruan Teknik Kuala Lumpur, ini tidak menyangka minatnya dalam bidang pertukangan turut mampu menjadi punca pendapatan yang lumayan.



Malah dia kini menerima banyak tempahan terutama daripada peminat kayu pallet pines hasil kesungguhannya mempelajari selok belok kesenian pertukangan. 
 
“Kalau ikutkan saya, apa yang diperlajari sebelum ini tidak begitu kena dengan jiwa.  Malah saya merasakan minat itu lebih ke arah pertukangan.
 
“Ilmu yang saya dapat dalam subjek Kemahiran Hidup agak terhad, jadi saya banyak melihat di Internet dan orang-orang lama,”katanya ketika ditemui di rumahnya, petang tadi.



Beliau yang kini merupakan pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Pongsu berkata, setiap rekabentuk yang dibuatnya diolah daripada idea dan rekaan orang lain.
 
“Saya ada menyertai satu kumpulan di Facebook iaitu ‘Pertukangan Kayu DIY Malaysia’. Dari situ saya tengok pertukangan orang dan belajar.
 
“Jadi saya olah sedikit daripada apa yang saya lihat di internet dan cuba lari sedikit konsep yang orang lain buat,”ujarnya.
 
Saiful turut menyatakan bahawa kerjaya beliau sebagai seorang guru tetap diutamakan kerana apa yang dilakukannya kini adalah sekadar hobi.




“Pada mula-mula saya buat perabot dan perhiasan berasaskan kayu pallet ini, saya muatnaik di Facebook dan ada kawan berminat untuk tempah.
 
“Bila siap, kawan saya itu turut muatnaik di Facebook dan menarik minat rakan-rakan yang lain untuk menempah perabot ini,”ujarnya.
 
Tambah bapa kepada dua orang anak itu lagi, setiap tempahan yang diterima akan dibuat mengikut tempoh waktunya sendiri, dan bukan mengikut masa yang ditetapkan oleh pelanggan.


 
“Saya buat mengikut masa yang saya ada, bukan ikut pelanggan. Tetapi sebelum itu saya akan maklumkan terlebih dahulu kepada pelanggan.
 
“Mungkin seminggu saya perlukan untuk siapkan tempahan mereka, tetapi pelanggan sanggup bayar dahulu asalkan dapat,”jelasnya.
 
Tambahnya lagi, sudah hampir lapan bulan beliau melakukan penjualan perabot pallet ini secara komersial.
 
Saiful berkata, beliau telah menerima tempahan secara set daripada beberapa café di sekitar Parit Buntar dan Taiping.

“Setiap tempahan yang sudah siap, pelanggan harus datang mengambilnya sendiri sebab saya tak mempunyai lori untuk penghantaran.
 
“Kalau nak saya hantar, saya kena caj tambahan, jadi mungkin mahal sedikit,”ujarnya.
 
Beliau turut menerima tempahan berdasarkan rekabentuk yang diminta oleh pelanggannya.
 
Antara yang dihasilkan beliau adalah kabinet, pelamin, katil dan kerusi bayi, meja makan dan sebagainya.
 
Menurutnya lagi, beliau  turut mendapat bekalan kayu pallet daripada kilang di Kulim, Kedah.
 
Beliau membeli sekitar RM1,000 setiap minggu dan membawa pulang ke Bagan Serai, menggunakan keretanya.
 
Menurutnya lagi, beliau turut menasihati anak muridnya agar sentiasa mencari kemahiran yang lain supaya dapat menjana pendapatan sampingan atau menjadikan sebagai pendapatan tetap.
 
“Saya selalu cakap dekat pelajar saya, kalau saya yang tak ada masa ni boleh cari masa untuk mencari duit tambahan walaupun saya ada gaji tetap, kamu yang ada masa terluang perlu mencari benda lain dengan belajar kemahiran untuk menjana pendapatan.

 
“Saya ada buat kelas tambahan untuk pelajar saya. Mereka buat sendiri perabut menggunakan kayu-kayu yang saya bawa, saya jual dan saya bagi duit itu kepada mereka selepas menolak kos.
 
“Sekarang mereka teruja untuk belajar dan mereka sedang kumpul untuk beli mesin mereka sendiri,”katanya.
 
Tambahnya lagi, ada golongan belia dan lepasan graduan berminat untuk belajar seni pertukangan kayu pallet ini.

 
“Saya alu-alukan kehadiran orang muda yang berminat belajar. Saya pun masih amatur dalam bidang ni, kita sama-sama belajar.
 
“Kadang-kadang kalau ada kayu-kayu lebih saya bagi mereka untuk bawa balik,”ujarnya.
 
Katanya lagi pendapatan kasar dalam sebulan yang diperolehinya adalah sekitar RM10,000.
 
Orang ramai yang ingin melihat hasil kerja yang dilakukan oleh Saiful, boleh ke laman Facebook miliknya, Saiful Bahrin.





28 Oct 2015

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top