Menu

IKLAN


KOTA BHARU - Hukuman penjara menanti seorang bomoh selepas mengaku salah atas tuduhan memperdaya seorang kenalan wanita sejak dua tahun lalu, di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Tertuduh Suzana Yasin, 45, mengaku salah terhadap enam pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed.

Suzana yang berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun itu membuat pengakuan tersebut ke atas keenam-enam pertuduhan iaitu lima di antaranya memperdaya mangsa dengan meminta mangsa menyerahkan barang kemas kepadanya dan satu pertuduhan memasukkan wang ke dalam akaun tertuduh dan menjanjikan pulangan yang lebih lumayan sehingga mangsa terpaksa menanggung kerugian RM28,930.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Suzana didakwa mendorong dan memperdayakan Rabiah Salleh, 59, dengan menjanjikan pulangan yang menguntungkan kepada mangsa supaya menyerahkan barangan kemas dan wang tunai miliknya yang bernilai RM12,150 antara 12 tengah hari hingga 3.15 petang, September 2012 hingga Disember 2013.

Ketiga-tiga perbuatan itu dilakukannya di hadapan kedai di tingkat bawah Kompleks Perniagaan Saidina Ali, Kedai Tukang Emas Melayu Haji Awang Bebakar 174, dan Bank Simpanan Nasional Cawangan, Kok Lanas.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam pula, tertuduh didakwa memperdaya mangsa yang sama supaya menyerahkan barangan kemas yang bernilai RM16,780 antara pukul 2.30 petang hingga 3.30 petang, September 2012.

Suzana didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Kedai Emas di tingkat bawah Kompleks Perniagaan Siadina Ali Kok Lanas dekat sini.

Bagi kesemua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebatan serta denda.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Syahrun Nizam yang memohon mahkamah menangguhkan keputusan untuk menjatuhkan hukuman atas alasan kertas pendakwaan masih belum lengkap.

Mohamad Nasrudin kemudian menetapkan pada 22 Oktober, sebagai tarikh sebutan semula kes.

-Sinar Harian

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top