IPOH: Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) dilihat mampu membantu dalam membanteras gejala dadah yang semakin menular dalam negara ini.
Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Masir Kujat, ia merupakan strategi yang digunakan oleh pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam menggerakkan segenap lapisan masyarakat agar dapat merealisasikan ‘Malaysia Bebas Dadah’.
Ujarnya, AADK memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuklah di kalangan pemimpin masyarakat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam usaha untuk membebaskan negara ini daripada dadah.
“Berlandaskan keyakinan tersebut, maka peranan JKPD ini amat penting kerana mereka akan menjadi agen penggalak kepada proses membantu program pemulihan dalam kalangan bekas atau penyalahguna dadah.
“Selain itu, mereka juga berperanan untuk merancang, menyelaras dan melaksanakan program bagi bekas penagih, membantu para pegawai AADK Daerah untuk mengawas dan memberi bimbingan serta membantu golongan ini untuk mendapatkan peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmiannya dalam Seminar Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) Peringkat Kebangsaan 2015 di sini, hari ini.
Dalam majlis itu juga, beliau turut menyerahkan kad keahlian dan sijil kepada wakil ahli JKPD seluruh Malaysia.
Turut hadir sama, Ketua Pengarah AADK, Datuk Suhaimi Abdullah.
Tambah beliau lagi, JKPD juga seharusnya mengutamakan program yang dapat membantu pengekalan kepulihan bekas penagih berkenaan.
“Ia termasuklah membantu individu dalam komuniti yang mempunyai masalah dadah. Dengan kaedah ini, komuniti akan lebih harmoni, aman dan kondusif untuk didiami,” tegasnya.
Masir juga berharap agar masyarakat khususnya pemimpin mahupun ketua komuniti dapat bertindak dengan mengenalpasti permasalahan dadah di kawasan masing-masing sebelum ianya menjadi wabak.
“Mereka perlu memaklumkan kepada pihak berkuasa seperti AADK mahupun jabatan-jabatan lain yang berkaitan untuk tindakan yang sewajarnya.
“Sekiranya ini dapat dilaksanakan, maka sasaran Malaysia bebas dadah pasti akan tercapai,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau berkata, dalam mengorak langkah untuk membanteras gejala ini juga, pihak AADK turut merangka beberapa aktiviti dengan menjadikan program rawatan dan pemulihan lebih mudah diakses.
“Ia termasuklah dengan menyediakan sebanyak 58 buah Cure and Care Service Centre (CCSC), 78 buah Caring Community House (CCH) di seluruh negara dan yang terbaru dengan menubuhkan tujuh Pusat Integrasi Klien (PIK) yang dilancarkan pada 4 Ogos yang lalu,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan pada tahun 2014 sahaja, seramai 21,227 orang penagih telah dikesan yang mana 63 peratus daripada jumlah tersebut merupakan penagih baharu dan selebihnya adalah penagih berulang.
“70 peratus penagih yang dikesan merupakan mereka yang terdiri daripada golongan yang berumur 18 hingga 39 tahun.
“Ini menunjukkan tenaga muda dan belia yang sepatutnya menyumbang dalam pembangunan serta kemajuan negara telah dipersiakan akibat penyalahgunaan dadah,” katanya lagi.

0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.