KUALA NERUS - Anggota Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) boleh menjadi 'mata dan telinga' kepada pihak berkuasa dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di institusi pengajian tinggi (IPT).
Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata, anggota Kor Suksis boleh menjadi penghubung antara pihak universiti dan polis, jika ada berlaku jenayah di sekitar mereka.
Beliau berkata, anggota Kor Suksis juga dapat menjadi contoh kepada pelajar lain dengan asas disiplin yang diterapkan kepada mereka sepanjang menyertai pasukan berkenaan.
"Walaupun kita tidak mengesan kegiatan jenayah melibatkan penuntut universiti, dengan adanya pasukan ini ia mampu membantu mencegah dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa," katanya kepada pemberita selepas majlis dialog bersama Kor Suksis Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini.
Beliau berkata, sehingga kini, tiada sebarang kegiatan jenayah melibatkan kekerasan, harta benda, narkotik dan rempit melibatkan pelajar IPT dilaporkan.
Setakat ini, sebanyak 415 penuntut UMT terdiri daripada 173 lelaki dan 242 wanita, menyertai pasukan berkenaan yang ditubuhkan sejak 2010.
Rosli berkata, penglibatan penuntut dalam pasukan itu juga adalah platform terbaik kepada mereka menyertai pasukan beruniform berkenaan, setelah tamat pengajian.
"Mereka diberi peluang menyertai pasukan dengan kelayakan dan kriteria yang ditetapkan dan boleh menyandang jawatan sebagai Inspektor mahupun sarjan," katanya.
Rosli berkata, sebanyak 58 penuntut UMT yang menyertai Kor Suksis, telah menjawat jawatan sebagai Inspektor polis.
- Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.