IPOH: Seramai lebih 50 gelandangan berjaya didekati dan dikenal pasti menghuni kawasan sekitar Bandaraya Ipoh menerusi bancian dalam program bantu gelandangan yang dinamakan Orang Muda Bantu Gelandangan (OMBAG) yang berlangsung hari ini.
OMBAG merupakan usaha penganjuran Ahli-ahli Parlimen Belia Perak dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, Persatuan Belia Sukarelawan Amanjaya, Barisan Nasional Youth Volunteers (BNYV Perak), Sukarelawan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR), Taj International College dan Antarabudaya Malaysia (AFS).
Seramai 50 orang sukarelawan terdiri daripada anak-anak muda membantu mengedarkan bungkusan makanan kepada gelandangan.
Ketua Pegawai Operasi YBUDR, Hairul Anwar Mohamed Noor berkata kebanyakan gelandangan yang didekati telah ditinggalkan oleh keluarga masing-masing dan ada yang berpenyakit serta tidak memiliki pekerjaan tetap.
Ujarnya lagi pihak kerajaan Negeri amnya perlu memikirkan kaedah yang terbaik dalam membantu kelompok gelandangan ini.
“Nasib mereka agak terabai dan kita khuatir corak kehidupan mereka akan mencacatkan lagi masyarakat kita.
“Ada segelintir daripada kita yang takut dengan mereka dan berpendapat mereka perlu dipisahkan dengan kehidupan umum dan sebenarnya mereka telah pun dipisahkan dengan keluarga mereka sendiri,” katanya.
Jelasnya lagi, penubuhan pusat tumpangan ‘homeless center’ bagi gelandangan juga antara langkah yang boleh dilaksanakan dan bukan hanya melibatkan badan kerajaan tetapi juga badan bukan kerajaan serta pihak swasta.
Masyarakat juga disaran supaya tidak bertindak meminggirkan kelompok ini kerana kebanyakan mereka terpaksa berhadapan dengan kehidupan sebegini disebabkan oleh pelbagai punca.
“Setakat ini bancian melibatkan gelandangan hanya sekitar bandaraya Ipoh iaitu di beberapa kawasan terpilih seperti UTC, Taman kanak-kanak, sekitar jambatan Sungai Kinta.
“Maklumat ini akan dikutip dan diserahkan kepada pihak berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan badan yang terlibat,” katanya sejurus selepas turut serta bersama para sukarelawan mendekati golongan gelandangan.
Bagi orang awam yang berminat menyalurkan bantuan wang ringgit atau makanan boleh menyumbang menerusi pusat sukarelawan Yayasan Bina Upaya yang beroperasi jalan Sultan Azlan Shah.
OMBAG telah mengadakan bancian di beberapa lokasi antaranya seperti di Pasar Besar Ipoh, Medan Selera Dato’ Sagor, Taman Walcott, dan sekitar Masjid Negeri Perak.
Objektif OMBAG adalah untuk mengumpulkan data gelandangan-gelandangan di Ipoh bagi tujuan pemakluman kepada agensi-agensi yang berkaitan dengan kebajikan golongan keterbawahan.
Di samping itu juga, program ini adalah untuk memberi pendedahan tentang masalah-masalah gelandangan kepada orang muda di negeri Perak.

0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.