BATU KURAU: Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin mensasarkan sekurang-kurangnya 15 gelanggang futsal di daerah itu bakal disediakan menjelang tahun hadapan.
Katanya, sehingga kini, Daerah Larut Matang dan Selama memiliki sebanyak 12 buah gelanggang futsal sahaja.
“Pada masa ini, ada lebih kurang 12 gelanggang futsal di Parlimen Larut…saya bercadang untuk tambah lagi tiga gelanggang pada tahun hadapan,”katanya ketika merasmikan Gelanggang Futsal Kampung Batu 16 dan Pertandingan Futsal di sini, pagi tadi.
Beliau berharap, dengan pertambahan gelanggang futsal berkenaan, ianya dapat mengelakkan golongan muda daripada membuang masa.
“Saya nak tengok anak muda di peringkat sekolah atau yang sudah dewasa untuk tidak buang masa di waktu petang.
“Saya nak tengok satu masa nanti ada wakil yang datang dari Batu Kurau, Kubu Gajah atau Selama wakili Parlimen Larut wakili Perak atau pasukan Malaysia,”luahnya.
Beliau turut menyatakan hasrat bagi melihat anak-anak muda pada masa kini mampu menjalani gaya hidup yang sihat.
“Anak muda kita ada ‘skill’ yang bagus…tetapi tadi saya tengok, selepas keluar gelanggang, benda pertama yang dicari adalah rokok,”guraunya.

0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.