IPOH: Seramai 10,000 pengungjung disasarkan yang terdiri daripada golongan belia bakal memeriahkan Silveryouth Islamic Fest (SYIF) yang akan berlangsung pada 24 dan 25 Oktober ini.
Karnival selama dua hari ini akan diadakan di perkarangan dataran parkir Angsana Ipoh Mall, di sini yang bermula dari jam 8 pagi.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Shahrul Zaman Yahaya berkata, penganjuran SYIF ini turut mendapat kerjasama daripada Majlis Belia Negeri (MBN) Perak dan Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk).
Katanya lagi, karnival ini diadakan sebagai salah satu usaha untuk mendekatkan golongan belia dengan aktiviti-aktiviti yang lebih baik.
“Penganjuran SYIF ini merupakan satu usaha untuk mendekatkan para belia kepada aktiviti-aktiviti yang lebih baik untuk kembali kepada asas denan kaedah yang lebih santai dan berkesan.
“Walaupun program ini berbentuk karnival, namun pengisiannya menjurus kepada aktiviti-aktiviti yang Islamik mengikut citarasa dan kecenderungan para belia,”katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, tengah hari tadi.
Tambahnya lagi, penganjuran karnival ini merupakan satu ruang kepada golongan belia untuk berkreatif dalam melakukan aktiviti yang mereka gemari dan sukai.
“Dalam konteks SYIF, kita juga menjuruskan supaya program-program yang berbentuk keagamaan disesuaikan dengan citarasa anak-anak muda.
“Sebelum ini kita juga ada menganjurkan program-program seumpama ini, tetapi cuma jenama yang berbeza,”ujarnya.
Shahrul turut berkata, SYIF ini turut diadakan bersempena dengan sambutan Maal Hijrah yang akan disambut pada 14 Oktober ini.
Antara pengisian program SYIF ialah Gema Malam Belia Berselawat, SYIF Bikes Unity for Charity, Running Iman, Pertandingan Nasyid Perkusi, Pertandingan Kalam Jamaa’i, Busana Muslimah Bersama Artis serta Pameran dan Jualan.
Antara artis yang dijangka hadir pada karnival ini ialah Fynn Jamal, Lah Ahmad, Al Farabi Band, Far East, Daie Elyas, Daie Amar, Ustaz Huri dan Inteam.


0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.