SETELAH mengakhiri kemarau kemenangan menundukkan Kelantan 3-1 Sabtu lalu, kejayaan T-Team mengekalkan rentak dengan menumpaskan Felda United 2-1 aksi Kumpulan C menggembirakan pengendalinya, Tomislav Steinbruckner.
Steinbruckner mengakui sedikit lega kemenangan itu selepas skuad kendaliannya bergelut prestasi kurang memberangsangkan berdepan dua kekalahan berturut-turut sebelum ini.
Menurutnya, keazaman tinggi pemain sepanjang perlawanan menjadi kunci kejayaan mereka mengetepikan cabaran Felda United sekali gus membalas kembali kepercayaan diberikan penyokong.
“Melihat kepada perlawanan tadi (kelmarin), kita sememangnya layak meraih tiga mata berharga ini walaupun lawan turut memiliki beberapa peluang menjaringkan gol.
“Malah kita juga bernasib baik kerana mampu bertahan sehingga ke minit terakhir, saya harap pemain meneruskan perkara sama menentang Selangor dan Kelantan nanti,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Katanya, selepas tewas 0-3 kepada The Fighters pada aksi pembuka tirai itu pemainnya bukan sahaja menunjukkan peningkatan membanggakan setiap perlawanan malah mengikis rasa terlalu hormat terutamanya ketika berdepan pasukan yang mempunyai nama besar seperti Selangor dan Kelantan.
“Saya juga turut gembira apabila pemain muda berjaya buktikan kebolehan mereka dengan menampilkan aksi setanding dengan pemain berpengalaman dan ini akan memberi kekuatan kepada pasukan untuk mengharungi dua lagi baki dua perlawanan selepas ini,” katanya.
-Sinar Harian

0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.