IPOH: Kerajaan negeri Perak, khususnya menerusi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) giat merancang bagi menjadikan bandaraya Ipoh sebagai sebuah bandaraya hijau.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, lantaran itu, beliau amat menekankan agar aspek kebersihan dititikberatkan.
“Kita telah merancang untuk menjadikan bandaraya Ipoh sebagai bandaraya hijau dan mulai sekarang, saya harap kita semua dapat membantu Ipoh mengekalkan kehijauannya.
“Lantaran itu, saya menekankan aspek kebersihan kerana, ciri-ciri bandaraya utama yang hebat, ia mestilah dijaga kebersihannya,”katanya dalam sidang media sejurus selepas program Hari Tanpa Kereta, di sini pagi tadi.
Terdahulu, Zambry turut menyertai aktiviti kayuhan basikal dari Kediaman Rasmi Menteri Besar dan melalui beberapa jalan utama menuju ke Padang Ipoh bersama-sama rakyat.
Beberapa jalan utama di bandaraya ini ditutup selama tiga jam sempena program Hari Tanpa Kereta disini.
Mengulas lanjut berkaitan program Hari Tanpa Kereta, Zambry berkata, program itu dapat membolehkan keluarga untuk menghabiskan cuti hujung minggu bersama-sama.
“Hari ini, kita telah memulakan program ini (Hari Tanpa Kereta) di Ipoh dan kita telah mengosongkan beberapa jalan utama bermula dari Jalan Raja Dihilir hingga menuju ke Taman Padang Polo dan membawa sampai ke Jalan Kelab Golf.
“Ianya bagi membolehkan keluarga dan sesiapa sahaja dapat menjadikan cuti hujung minggu untuk bersama-sama bersantai di sepanjang jalan raya tersebut,”katanya.
Ujarnya lagi, beliau turut mendapat maklumbalas yang baik dari pelbagai pihak termasuklah daripada individu kenamaan.
“Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah juga berhasrat untuk bersama-sama menjayakan program sebegini.
“Ini merupakan salah satu pendekatan yang kita lakukan khususnya MBI dalam usaha untuk meletakkan Ipoh sebagai salah satu bandaraya utama di Malaysia,”jelasnya.
Sementara itu, beliau turut mengulas berkaitan Ipoh Heritage Trail berupaya menjadi salah satu langkah memudahkan pelancong di bandaraya ini menjejaki tempat-tempat menarik.
“Ipoh Heritage Trail atau Jejak Tapak Warisan ialah satu idea bagi membolehkan sesiapa sahja yang datang untuk melihat dan menjejaki tempat-tempat warisan dalam bandaraya Ipoh.
“Mereka dapat mengikut jejak itu dengan lebih mudah lagi,”katanya.
Selain merasmikan Ipoh Heritage Trail, Zambry turut merasmikan Pusat Penerangan Pelancongan Ipoh, di sini.

0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.