GOPENG: Seramai 848 peserta termasuk 126 jurusolek dan 722 model telah mencipta rekod baharu dalam program 'Most Number of Participants In A Simultaneous Beauty Make-Up Event’ yang diadakan di RTC Gopeng, petang tadi.
Kejayaan tersebut sekaligus membolehkan program berkenaan disenaraikan dalam Malaysia Book of Record (MBR).
Dalam program tersebut, setiap jurusolek perlu menyolek beberapa orang model dalam masa satu jam bermula dari jam 3 petang hingga 4 petang.
Naib Presiden bagi program tersebut, Juliana Ngok berkata, seorang jurusolek perlu menyolek sekurang-kurangnya lima orang model dengan tema ‘Hi-Tea’.
“Jurusolek yang menyertai bagi mencipta rekod MBR terdiri daripada mereka yang professional dalam industri dan juga pelajar-pelajar daripada Kolej Komuniti, Kolej Vokasional dan Pusat Pentauliahan di negeri Perak.
“Kami ingin membawa lebih ramai individu yang berbakat ke dalam industri ini untuk ditunjukkan kepada orang ramai dan seterusnya membuktikan bahawa mereka boleh berjaya walaupun mereka tidak mempunyai sijil,” katanya ketika ditemui di sini.
Tambahnya lagi, jurusolek yang menyertai majlis tersebut berusia dalam lingkungan 17 tahun hingga 60 tahun.
Juliana turut berkata, tema ‘Hi-Tea’ dipilih kerana ia merupakan satu solekan yang mudah.
“Kita mempunyai pelbagai jenis solekan. Tetapi pada hari ini, kita mahukan solekan yang mudah. Tambahan pula, setiap jurusolek perlu menyolek lima orang dalam masa satu jam,” katanya.
Wakil MBR, Lee Pooi Leng telah mengesahkan rekod Malaysia yang baharu berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Dr Mohammad Amin Zakaria turut menyaksikan majlis penyerahan sijil MBR tersebut.



0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.