Adilah mahu komersial pakaian tradisional
DILAHIRKAN dalam keluarga sederhana, Adilah Ahmad Khairudin, 32, cukup bertuah kerana kini dia bukan sahaja terlibat secara sepenuh masa dalam bidang perniagaan tetapi dalam masa sama boleh menjadi ikon kepada wanita muda dalam mengekalkan tradisi pakaian tradisional Melayu daripada terus lapuk dek zaman.
Berani mengambil risiko untuk meletakkan jawatan dalam bidang Advertising Media pada 2010, Adilah sesekali tidak rasa menyesal untuk menjadi sebahagian ahli keluarga Butik Poya milik ibunya yang telah ditubuhkan sejak 18 tahun lalu.
Menganggap kehadirannya dalam bidang perniagaan ini akan mengukuhkan jenama Poya secara meluas lagi. Walaupun tiada asas berniaga, tetapi keyakinan terhadap ilmu perniagaan yang dimiliki oleh ibu, Sharifah Naemah Khalidza, 59, sejak dahulu lagi akan membantu kepada kejayaan pada masa akan datang.
Percaya kepada kebolehan ibu yang sebelum ini merupakan bekas pekerja bank dalam menerajui perniagaan, antara kekuatan perniagaan pakaian tradisional ini dapat berada pada landasannya sendiri.
“Dahulu sebelum ibu berhenti kerja, macam-macam perniagaan ibu lakukan. Mungkin sejak dari awal saya melihat kegigihan dia mencari wang menyebabkan minat itu datang dengan sendirinya.
“Saya berpendapat jika tidak dimulakan dari awal sampai bila-bila pun ia tidak akan terlaksana. Memikirkan perkara itu, saya nekad dan tidak lagi memandang ke belakang,” kata anak sulung daripada empat beradik ini.
Nama Poya bawa tuah
Sebut Butik Poya mesti ramai akan tercengang. Bukan apa namanya sedikit janggal dan lain dari yang lain. Berkongsi mengenai keistimewaan butik ini, Adilah dengan pantas menyatakan Poya adalah singkatan kepada nama panggilan ibu dalam kalangan anak buahnya dan saudara-mara terdekat.
“Ketika ibu membuat keputusan membuka butik pakaian di situlah tercetusnya idea untuk meletakkan nama Poya. Walaupun pelik tetapi sudah sinonim dalam kalangan pelanggan tetapnya dan seakan-akan membawa tuah dalam keluarga kami.
“Malah apa yang membuatkan saya bangga adalah pakaian tradisional Melayu wanita adalah produk utama kami selain produk sampingan lain,” katanya.
Menurut Adilah, sepanjang tempoh ini, mereka masih boleh bertahan biarpun ramai menganggap persaingan daripada peniaga lain cukup sengit dengan pelbagai fesyen terbaharu untuk digayakan.
“Kami tetap mengekalkan identiti kemelayuan seperti baju kurung, kebaya panjang dan pendek, kurung pesak serta baju kedah.
“Saya tidak kisah dengan persaingan luar kerana masing-masing mempunyai kelebihan. Apa yang kami tekankan adalah kualiti fabrik yang digunakan," katanya.
Ada yang beranggapan baju tradisional hanya sesuai untuk wanita berumur, tetapi Poya menidakkan tanggapan itu apabila turut menawarkan busana berkenaan kepada semua lapisan umur dan bangsa.
“Semua orang boleh bergaya mengikut rekaan dan kreativiti fesyen yang disuaipadan. Sebolehnya rekaan yang dihasilkan adalah eksklusif dan sesuai untuk semua majlis,” kata Adilah tersenyum.
Utamakan kepuasan pelanggan
Menjanjikan kelainan dalam setiap rekaannya, Adilah menyatakan kerjasama dan idea daripada ibu sebenarnya banyak membantu.
“Ibu banyak memberi ilham dalam setiap rekaan dan saya pula akan cuba sedaya upaya menghasilkan rekaan tradisional ini dengan menambah beberapa perincian sesuai fesyen semasa.
“Sejak mengusahakan butik sepenuh masa, saya dan ibu sanggup ke luar negara seperti Indonesia, India, Pakistan, Thailand dan China semata-mata untuk memenuhi permintaan pelanggan.
“Walaupun penat tetapi puas hati kerana rata-rata pelanggan sentiasa menyokong sejak awal penubuhan butik ini di Bangsar Shopping Centre hinggalah mempunyai dua cawangan baharu iaitu di Empire Shopping Gallery dan Jaya Shopping Centre, selain empat kaunter di dalam Parkson Alamanda, IOI Mall Putrajaya, Pavillion Kuala Lumpur dan NU Sentral," kata wanita yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pemasaran Universiti Multimedia Malaysia ini.
Bagi ibu kepada dua cahaya mata lelaki ini, kesibukan menguruskan butik dan melihat anak-anak membesar di hadapan mata adalah satu cabaran.
"Jika diikutkan memang masa agak terhad tetapi bagi saya dan suami yang masing-masing sibuk dengan komitmen kerja, hujung minggu jadual kerja akan dikosongkan.
"Biar apa pun alasannya saya akan jadikan waktu dengan anak-anak masa penting kami dengan melakukan aktiviti riadah dan berkelah di kawasan air terjun," jelasnya.
Info
Website: www.poya.com.my
Facebook: poyaboutique1
Instagram: poyaboutique
-Sinar Harian

0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.