Menu

IKLAN


Jempol: Semua Kompleks Rakan Muda di negara ini akan dibaik pulih secara berperingkat berikutan peruntukan terhad untuk berbuat demikian.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ketika ini terdapat yang kompleks sudah berusia dan mengalami kerosakan serta perlu diberi perhatian sewajarnya.

Katanya, kemudahan di kompleks berkenaan menjadi lokasi popular dalam kalangan belia untuk melakukan aktiviti sukan dan riadah.

“Kita akan lihat keutamaan dalam melaksanakan kerja baik pulih mengikut kemampuan bajet kementerian, jika tidak boleh, kita buat beransur-ansur mengikut keperluan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra bersama pemimpin di Kompleks Rakan Muda Bandar Seri Jempol, di sini, semalam.

Khairy berkata, kompleks yang dibina bagi kemudahan riadah golongan muda perlu diberi perhatian kerana tiada lagi tempat yang menawarkan pelbagai kemudahan dalam satu lokasi.

“Kerajaan sentiasa berusaha memastikan golongan belia diberi perhatian terutama mengamalkan budaya hidup sihat, sekali gus mengelakkan mereka terjerumus ke aktiviti tidak berfaedah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, kerajaan memberi peruntukkan kepada persatuan belia bagi menjalankan aktiviti.

Katanya, ada kalanya peruntukan berkenaan lebih tinggi daripada kebiasaan kerana mahu belia mendapat manfaat daripada peruntukan itu.

“Atas faktor berkenaan kita serahkan kepada persatuan belia menguruskan program yang mereka mahu dibuat kerana hanya persatuan mengetahui isi hati belia,” katanya.

-Harian Metro

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top