PRAMUGARA yang dijadualkan terbang bersama pesawat Rusia yang terhempas di Mesir Sabtu lalu terselamat dari tragedi itu selepas mengambil keputusan berhenti kerja seminggu sebelum kejadian.
Oleg Ermakov nekad berhenti kerja selepas bapanya merayu berulang kali untuk melakukan perkara itu kerana bermimpi sesuatu bencana buruk akan berlaku.
Malah Oleg berkata, namanya turut disenaraikan sebagai krew penerbangan yang akan bertugas pada hari kejadian walaupun telah meletakkan jawatan.
"Perkara ini sesuatu yang menakjubkan. Saya kenal semua krew penerbangan dan sering terbang di laluan yang sama berulang kali.
"Saya dijadualkan terbang bersama, tapi telah berhenti kerja," katanya dipetik Mirror.uk
Katanya lagi, sebelum ini dia pernah terfikir untuk meletakkan jawatan, namun nekad melakukan demikian seminggu sebelum kejadian selepas menerima panggilan telefon dari bapanya yang mengalami mimpi buruk dan kelihatan sedih serta merayu padanya untuk meletakkan jawatan.
Walaupun bersyukur terselamat dari nahas itu, namun Oleg turut terkesan dengan tragedi berkenaan kerana bekas rakan sekerjanya terbunuh.
"Saya mengenali rapat juruterbang. Mereka baik, juruterbang profesional, bekas juruterbang tentera dan mempunyai pengalaman bertahun dalam penerbangan," ujarnya.
Pesawat Airbus A-321 yang membawa 217 penumpang dan tujuh anak kapal hilang dari radar selepas 23 minit berlepas pada pukul 5.51 pagi Sabtu dari Sharm el-Sheikh ke St Petersburg, Rusia.
Tragedi tersebut telah mengorbankan kesemua penumpang termasuk 17 kanak-kanak.
-Sinar Harian

0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.