RATU skuasy negara Datuk Nicol David mara ke suku akhir kejohanan Klasik Qatar selepas menewaskan pemain England, Victoria Lust di Kompleks Tenis dan Skuasy Antarabangsa Khalifa di Doha hari ini.
Pemain berusia 32 tahun dari Pulau Pinang itu hanya mengambil masa 31 minit untuk menjinakkan pilihan ke-16 itu dengan 11-5, 11-5, 11-5 dalam aksi pusingan keduanya.
Nicol, pemain nombor dua dunia yang juga juara bertahan, memburu gelaran keenamnya di Doha selepas menjuarainya pada 2007 (April dan Okt), 2008, 2010 dan 2011.
Dia akan berdepan pilihan ketujuh, Annie Au dari Hong Kong di suku akhir esok.
Untuk rekod, kategori wanita kejohanan ini tidak dipertandingkan dari 2012 hingga 2014 manakala kategori lelaki tidak diadakan tahun lepas berikutan negara itu menganjurkan Kejohanan Dunia.
- Bernama

0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.