Menu

IKLAN


Meskipun baru berusia 29 tahun, kejayaan bekas mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang perniagaan tidak boleh dinafikan.

Muhammad Syahid Zakaria telah mewarisi perniagaan keluarganya, iaitu perniagaan kerepek dan mampu memperoleh pendapatan kasar sekitar RM30,000 sebulan.

“Saya mengambil alih perniagaan keluarga sepenuhnya selepas ayah saya meninggal dunia.

“Jadi selepas menamatkan pengajian di UiTM pada tahun 2009, saya meneruskan perniagaan keluarga yang sebenarnya telah bermula pada tahun 1985,”katanya.

Tambahnya lagi, sebaik mengambil alih perniagaan kerepek keluarganya,  beliau telah melakukan pembaharuan demi pembaharuan untuk memajukan lagi perniagaannnya.

“Antara pembaharuan yang saya lakukan adalah dari segi pengurusan di mana saya menambah baik rekod, mencari pasaran baru dan menggunakan internet untuk promosi.


“Selain itu, saya turut memberi fokus pada harga dan mengekalkan harga serendah mungkin. Saya juga turut memecahkan segmen harga antara pembeli borong dan runcit,”ujarnya.

Menurut pemilik Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran ) itu lagi, sehingga kini perniagaan Hj Zakaria’s Food telah mengeluarkan 13 jenis produk sendiri dan turut mempromosikan produk-produk penduduk kampung.

Antara produk yang ditawarkan oleh kilangnya adalah Kerepek Ubi Masin, Kerepek Ubi Pedas Basah, Kerepek Ubi Lada Hitam, Jejari Ikan Bilis, Jejari Udang, Rempeyek Mini, Maruku dan beberapa produk lain.



Mengulas lanjut, bekalan bahan mentah diperolehi hasil daripada tanaman sendiri dan juga orang kampung.

“Bekalan bahan mentah saya tanam sendiri seperti ubi kayu, ada juga bekalan yang saya dapat daripada orang kampung dan buat kontrak.

“Secara kasar, saya memerlukan sekitar lima tan sebulan atau lebih kurang satu tan seminggu bekalan ubi kayu,”katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Pasar Tani Perak berkata, beliau turut memasarkan produk kerepeknya sehingga ke Kuala Lumpur dan negeri Perak.

Bercerita tentang operasi kilangnya, kebanyakkan peralatan yang digunakan dibeli dengan modal sendiri.

“Kebanyakkan mesin di dalam kilang ini dibeli dengan modal sendiri. Tetapi saya ada juga mendapat pinjaman dan bantuan daripada FAMA dan Jabatan Perikanan.

“Untuk membeli mesin-mesin ini, lebih kurang RM200,000 telah dibelanjakan. Tetapi saya tak beli semuanya sekali. Bila cukup modal, baru saya beli,”katanya.

Jelasnya, bagi melancarkan pengeluaran kerepeknya, beliau turut dibantu oleh tiga yang lain yang terdiri daripada ibunya dan ibu-ibu tunggal.


Bercerita lanjut, beliau menghasilkan sekitar lima tan kerepek setiap bulan dan bergantung pada permintaan pelanggan.

Tambahnya, sebaik dilantik sebagai Pengerusi Pasar Tani Perak, beliau turut berhasrat untuk membantu golongan belia yang ingin berniaga.

“Saya adalah orang yang suka berkongsi pengalaman.  Saya akan bantu mereka yang ingin berniaga.

“Saya akan membantu mereka dari satu tahap ke satu tahap. Itu harapan saya,”katanya.

Syahid turut memberi tips bagi golongan muda yang ingin memulakan perniagaan.


“Pertama, kalau nak berniaga, kita kena berniaga benda yang kita tahu dan suka. Kedua, kita jangan mudah terpengaruh dengan orang lain.


“Ketiga, mulakan secara kecil-kecilan sebab, jika kita rugi, kita

tidak akan mengalami kerugian yang teruk. Dan terakhir, jangan buat pinjaman. Mulakan perniagaan anda dengan modal yang ada,”nasihatnya.

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top